KLUANG: Kejayaan kerajaan negeri menjana pendapatan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan hanya memberi manfaat kepada kawasan terbabit, malah limpahannya akan dirasai seluruh rakyat Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, setiap hasil yang diperoleh daripada JS-SEZ akan dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai insentif pembangunan.
“Apabila ekonomi negeri berkembang pesat, pulangan lumayan itu akan menjadi penggerak untuk membangunkan semua daerah. Walaupun tumpuan banyak diberikan kepada JS-SEZ, hasilnya tidak hanya untuk kawasan itu sahaja, tetapi dinikmati seluruh Johor,” katanya dalam ucapan perasmian Program Jelajah Orang Johor (JOJ) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dan Machap di Pekan Renggam, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Mohd Hairi Md. Shah; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han serta ADUN Layang-Layang, Abdul Mutalib Abd Rahim.
Onn Hafiz berkata, pembangunan negeri tidak boleh hanya diukur pada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan ilmu dan pendidikan.
“Aspek pendidikan mesti dijadikan tunjang utama agar pembangunan pesat negeri ini berjalan seiring dengan kemajuan rakyat Johor,” katanya. – UTUSAN










