JOHOR BAHRU: Lebih 15,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ditawarkan dalam Pameran Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang menjadikannya platform terbesar penawaran perumahan terbesar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, jumlah itu merangkumi unit sedia ada dan projek baharu yang akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat hingga tahun depan.
“Sehingga suku pertama tahun ini, sebanyak 17,741 unit rumah telah disiapkan di bawah program RMMJ, manakala 12,259 unit lagi sedang dalam pembinaan.
“Sasaran keseluruhan program ini adalah pembinaan 100,000 unit rumah menjelang tahun 2030 yang dibahagikan dalam dua fasa, iaitu Fasa 1 (2022-2026) sebanyak 30,000 unit dan Fasa 2 (2027-2030) sebanyak 70,000 unit,” katanya semasa pada melancarkan Projek Rumah Mampu Milik Johor sempena JPEX 2025 di Angsana Johor Bahru Mall di, sini hari ini.
Menurutnya, JPEX 2025 menawarkan 3,813 unit rumah secara langsung kepada rakyat menerusi pelbagai mekanisme seperti undian terbuka dan tawaran terus merangkumi 48 unit berharga RM50,000, 342 unit RM100,000, 2,223 unit RM150,000 dan 1,200 unit lagi antara RM250,000 hingga RM300,000.
Mohd. Jafni berkata, sebanyak 13 projek RMMJ dilancarkan sempena JPEX 2025 membabitkan 14 pemaju, melibatkan empat daerah, iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai dan Pontian.
Turut dilancarkan tiga projek Kedai Kos Sederhana (KKS) melibatkan 117 unit yang ditawarkan pada harga RM200,000, sebagai usaha membantu rakyat memiliki ruang niaga pada harga berpatutan.
Pameran ini juga memperkenalkan undian terbuka melibatkan 255 unit rumah. Di Johor Bahru, 202 unit di Taman Impian Emas ditawarkan pada harga RM150,000 manakala di Segamat, 53 unit di Taman Mutiara Maju Fasa 1 & 2 ditawarkan dengan harga bermula RM50,000.
“Kita mahu rakyat Johor memiliki rumah sendiri, bukan hanya menumpang sepanjang hayat,” katanya sambil menegaskan bahawa JPEX 2025 adalah manifestasi terhadap komitmen dasar Maju Johor yang berpaksikan keperluan rakyat. – UTUSAN







