ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu tuntutan penduduk Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru berhubung tempoh pajakan tanah rizab di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu bertujuan memberikan kefahaman tentang dasar tanah kerajaan negeri.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut akan diuruskan kerajaan negeri bersama Pejabat Tanah.
“Permohonan bagi melanjutkan tempoh pajakan yang kita terima telah diluluskan, tiada masalah kerana ia hanya melibatkan prosedur biasa sahaja.
“Isu (tuntutan menukar status kepada hak milik kekal) yang dibangkitkan hanyalah dibuat segelintir yang mungkin kurang faham tentang dasar tanah kerajaan Johor. Oleh itu satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk melakukan ‘engagement’ bersama penduduk,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil RMMJ Daerah Johor Bahru di Dewanraya Taman Bukit Indah, di sini.
Mohd. Jafni memberi jaminan kepada penduduk di kawasan berkenaan bahawa kerajaan negeri akan terus mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu termasuk di Kampung Melayu Majidee.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md. Shariff dilaporkan memberitahu penduduk tidak bersetuju dengan penambahan tempoh pajakan.
Sebaliknya menurut beliau, penduduk kampung berkenaan kekal dengan tuntutan asal iaitu hendak menukar status tanah berkenaan daripada pajakan kepada hak milik kekal.
April lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee berdepan dilema apabila permohonan menukar status pajakan 99 tahun tanah kediaman daripada Tanah Rizab Melayu (TRM) kepada hak milik kekal tiada maklum balas. – UTUSAN