KUALA LUMPUR: Malaysia tidak seharusnya terus bergantung dengan pelaburan asing (FDI) semata-mata, sebaliknya perlu menumpukan perkembangan terhadap syarikat teknologi tempatan yang berskala besar.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ia selaras dengan Strategi Semikonduktor Negara (NSS) yang dibentangkan Perdana Menteri pada tahun lalu bagi membina ekosistem teknologi tempatan yang kukuh dan berdaya saing.
“Kita tidak mahu Malaysia hanya dikenali sebagai negara yang menerima FDI. Kita mahu melahirkan syarikat teknologi bertaraf global milik Malaysia sendiri,” katanya dalam forum ‘Menjayakan Peralihan Tenaga Malaysia’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Sesi itu turut disertai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan dikendalikan oleh Pengerusi Cypark Resources Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai moderator.
Di bawah NSS, kerajaan menetapkan sasaran yang jelas untuk mewujudkan 10 syarikat Malaysia yang bernilai sekurang-kurangnya AS$1 bilion dan 100 syarikat Malaysia yang mencapai nilai RM1 bilion.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha bagi mengubah landskap pelaburan domestik yang selama ini lebih tertumpu kepada sektor seperti hartanah kepada sektor teknologi yang berpotensi tinggi serta memberi kesan jangka masa panjang.
Mengulas lanjut, Chin Tong turut berkata, Malaysia memiliki pasaran modal yang aktif, namun masih belum menyeluruh terhadap sektor teknologi.
“Cabaran kita adalah bagaimana untuk mengalihkan fokus pasaran modal kepada teknologi, bukan hanya hartanah. Bagaimana kita ingin meyakinkan semua pihak bahawa Malaysia boleh menjadi negara teknologi, bukan sekadar negara dagangan.” ujarnya.
Dalam hal ini, beliau menggesa semua pihak untuk menyokong pertumbuhan industri teknologi tempatan sebagai keutamaan.
“Ini bukan sekadar soal pelaburan, ia adalah perubahan struktur pemikiran ekonomi negara.” ujarnya. – UTUSAN