Malaysia tiada obligasi penuhi komitmen komersial dalam ART

Malaysia tiada obligasi penuhi komitmen komersial dalam ART

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai sebarang obligasi untuk melaksanakan komitmen komersial bernilai anggaran AS$240 bilion (RM 991.2 bilion) bagi pembelian barangan atau pelaburan bernilai AS$70 bilion (RM289.1 bilion) di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ART tidak menuntut kerajaan untuk membeli barangan atau melabur di AS dalam nilai tertentu, oleh itu kerajaan tidak terikat untuk memenuhi sebarang jumlah yang dinyatakan.

Menurut beliau, kerajaan kekal komited memastikan perdagangan dua hala yang inklusif dan berdaya saing, selain memastikan integriti fiskal negara dipelihara serta tidak terganggu oleh perolehan komersial yang tidak melibatkan kerajaan.

“Komitmen yang dinyatakan di bawah ART adalah keputusan korporat syarikat, dilaksanakan melalui mekanisme pasaran dan tidak membentuk sebarang kewajiban negara,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai sama ada Malaysia perlu menunaikan komitmen membeli barangan dan melabur di AS bernilai kira-kira AS$240 bilion di bawah ART Malaysia-AS dalam tempoh yang dipersetujui.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, komitmen yang dinyatakan di dalam ART merujuk kepada keputusan komersial serta perancangan perolehan sedia ada oleh syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional Malaysia.

Bagaimanapun, jelasnya, ia akan berdasarkan pertimbangan dan strategi perniagaan masing-masing.

“Kesemua urus niaga ini adalah berbentuk perniagaan kepada perniagaan dan didorong oleh keputusan komersial serta jangkaan pulangan pelaburan syarikat meliputi pembelian pesawat daripada Boeing, peralatan keselamatan, gas asli cecair (LNG), peralatan semikonduktor, komponen aeroangkasa, peralatan pusat data, peralatan telekomunikasi serta arang batu.

“Sebagai contoh, komitmen perolehan pesawat merupakan sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan armada kapal penerbangan negara yang dilaksanakan secara berfasa bagi menggantikan pesawat lama dan memastikan keselamatan serta kemampanan operasi selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.

“Perolehan LNG pula merupakan komitmen bekalan jangka panjang oleh Petronas untuk memenuhi kontrak sedia ada, mengoptimumkan sumber dan memastikan kesinambungan penghantaran kepada pelanggan,” katanya.

Tambahnya, perolehan itu adalah keputusan komersial Petronas dan bukan atas arahan kerajaan untuk memenuhi obligasi di bawah ART. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN