BANGI: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menggalakkan lebih banyak hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) dari luar dikomersialkan menerusi kerjasama strategik bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memperkasa inovasi dan memperluas potensi industri sawit negara.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, meskipun MPOB menjalankan R&D sendiri, potensi daripada pemain luar yang melabur dana sendiri juga tidak boleh diabaikan.
“Kalau mereka sudah buat sampai 70 peratus, MPOB boleh bantu lengkapkan 30 peratus lagi untuk pastikan teknologi itu bersedia dikomersilkan.
“Dengan sokongan MPOB, keyakinan pasaran juga lebih tinggi. Maka kedua-dua pihak akan dapat manfaat, termasuk dari segi royalti,” katanya ditemui selepas pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Johari turut menyaksikan pertukaran tiga dokumen perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan-rakan kerjasama strategik bagi tujuan pelesenan dan pengkomersialan teknologi Formulasi Pelet Makanan Lembu, Endophytic Streptomyces Spp. Endo88 as Preventive and Biocontrol Product to Control Ganoderma, dan lipstik berasaskan sawit.
Terdahulu, dalam ucapannya, Johari berkata, pada setiap tahun melalui penganjuran Program TOT, MPOB memperkenalkan teknologi dan inovasi baharu untuk pengkomersialan.
Katanya, usaha MPOB itu selari dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti melalui peningkatan hasil dan bukan perluasan kawasan tanaman.
“Antara teknologi dan inovasi yang diperkenalkan termasuk penghasilan baka sawit berkualiti, teknik baharu untuk membantu dalam proses penanaman semula dan kawalan penyakit seperti Ganoderma.
“TOT 2025 menawarkan 11 teknologi baharu daripada MPOB untuk pengkomersialan. Teknologi-teknologi ini merangkumi pelbagai bidang termasuk bioteknologi, perlindungan tumbuhan, teknologi mekanisasi dan automasi, oleokimia dan produk bukan makanan serta produk makanan dan makanan ternakan,” katanya. – UTUSAN