Impian besar Qaseh Rania

Impian besar Qaseh Rania

QASEH Rania ditawarkan kontrak selama tiga tahun untuk menyertai skuad bawah 17 tahun (B-17) Wolfsburg.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QASEH Rania Khairul Najib yang menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai idolanya memasang impian besar untuk mengharumkan nama Malaysia sebagai pemain bola sepak wanita negara di pentas Eropah.

Pemain berusia itu membuktikan impian itu bukan sekadar angan-angan apabila dia berjaya memikat salah sebuah kelab Jerman, VfL Wolfsburg dan ditawarkan tempat dalam skuad belia kelab gergasi Eropah itu.

Qaseh Rania ditawarkan kontrak selama tiga tahun untuk menyertai skuad bawah 17 tahun (B-17) Wolfsburg.

Penyertaan Qaseh Rania bersama Wolfsburg bermula dengan tindakan bapanya, Khairul Najib Ibrahim yang menggunakan peluang sebaik sahaja mengetahui Wolfsburg berminat mencungkil bakat tempatan pada 2023.

QASEH Rania ketika bersama rakan sepasukan di Wolfsburg.

Khairul Najib telah menghubungi pejabat itu dan menjalinkan hubungan rapat dengan Ketua Wakil Asia Tenggara kelab tersebut, Ken Hew sehingga Qaseh Rania diberi peluang menjalani sesi percubaan selama lima minggu bersama skuad belia Wolfsburg pada Ogos tahun lalu.

Dalam tempoh percubaan itu, pemain berusia 15 tahun itu menunjukkan prestasi positif sehingga berjaya memikat barisan kejurulatihan kelab berkenaan dan ditawarkan tempat bersama Wolfsburg.

Berikutan tawaran itu, keluarganya merancang untuk berpindah ke Jerman tahun ini bagi menyokong kerjayanya Qaseh Rania.

“Sebenarnya, hasil video profil yang disiapkan oleh bapa, saya menerima tawaran daripada empat kelab luar negara iaitu Amerika Syarikat, Sepanyol, Croatia dan Jerman.

“Kami pilih Wolfsburg bukan sahaja kerana reputasinya, malah disebabkan sistem sokongan dan pembangunan bakat di Jerman yang lebih menyeluruh.

“Antara kelebihannya adalah pendidikan percuma, kos sara hidup yang seimbang dengan pendapatan, persekitaran sosial selamat serta kurang isu rasuah atau jenayah,” kata Qaseh Rania.

Qaseh Rania yang juga merupakan duta German-Malaysian Institute (GMI) di Bangi, ketika ini sedang mengikuti kelas bahasa Jerman tahap A1 hingga C2 untuk persediaan berhijrah ke sana.

Qaseh Rania mula bermain bola sepak sebagai pemain pertahanan tengah, sebelum beralih ke posisi penyerang kerana dia kerap menjaringkan gol.

Namun pada usia 14 tahun, jurulatihnya melihat potensi besar dimilikinya dan meletakkan Qaseh Rania bermain sebagai pemain tengah disebabkan kemampuan menjaring gol dan menghantar bola dengan tepat.

Daripada segi fizikal juga menjadi kelebihan selain, pengalamannya bermain bersama pasukan lelaki seperti Clasico FC, nyata banyak membentuk ketahanan tubuhnya.

“Walaupun saya perempuan, rakan sepasukan tidak pernah memberi layanan istimewa. Saya sudah terbiasa dengan permainan yang lasak dan kasar.

“Pengalaman tersebut banyak membantu saya ketika beraksi dengan pasukan Eropah kerana gaya permainan mereka setanding dengan pemain lelaki di Malaysia,” ujarnya.

Bercakap tentang fizikalnya, ia telah dibentuk melalui latihan konsisten sejak kecil dan amalan pemakanan ketat di bawah pemantauan bapanya yang juga merupakan bekas ahli bina badan.

Menurut gadis yang memiliki ketinggian 174 sentimeter itu, antara menu wajibnya adalah minum susu sebanyak tiga kali sehari dan mengambil makanan seperti dada ayam bakar, ikan kukus serta empat biji telur setiap hari sama ada direbus atau dimasak ‘scramble’.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) itu juga membawa bekalan ringan ke sekolah seperti sandwich telur atau buah-buahan, selain elak makan makanan bergoreng.

QASEH RANIA

Rutinnya juga agak padat dengan aktiviti bola sepak selepas tamat sesi persekolahan.

“Latihan dilakukan enam hingga tujuh kali seminggu, di mana jadual bergilir-gilir antara sesi gimnasium dan latihan padang. Pada waktu malam, saya fokus belajar bahasa Jerman atau menyiapkan kerja sekolah,” katanya.

Qaseh Rania turut mengakui bahawa keputusannya menjadi pemain bola sepak juga tidak lari daripada kedengaran suara-suara sumbang yang mempersoalkan kerana jantinanya, namun dia memilih memekak telinga dan terus mengejar cita-citanya.

Selain sokongan bapanya, ibunya, Siti Zainah Mahani turut menyokong penuh sukan pilihannya.

“Kadang-kadang ada yang kata saya tak patut bermain bola sepak sebab saya perempuan. Tapi saya bersyukur ada keluarga dan jurulatih yang sentiasa menyokong saya. Saya yakin, suatu hari nanti saya mampu mengharumkan nama negara di pentas Eropah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN