PETALING JAYA: Proses pemilihan pucuk pimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh lebih tiga bulan susulan peletakan jawatan serta-merta semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu, kelmarin.
Kongres pemilihan berkenaan akan diadakan hanya selepas proses pembaikan menyeluruh terhadap pentadbiran FAM selesai dilaksanakan sepenuhnya dengan kerjasama pasukan khas daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pasukan AFC yang diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap struktur dan operasi pentadbiran FAM.
“Kami telah memaklumkan kepada FAM bahawa pasukan AFC memerlukan kira-kira tiga bulan untuk menyediakan laporan lengkap hasil penilaian ini.
“Tempoh tersebut penting kerana kami perlu hadir ke sini, menilai keseluruhan sistem pentadbiran, termasuk struktur dalaman serta proses kerja sedia ada,” katanya.
Menurut Windsor, hasil penilaian itu kemudiannya akan dibentangkan dalam satu laporan rasmi bagi menentukan sama ada sebarang perubahan perlu dibawa ke Kongres FAM atau hanya melibatkan penambahbaikan dalaman yang boleh dilaksanakan di peringkat pengurusan.
“Dalam laporan itu, kita akan lihat sama ada terdapat perkara yang perlu dibawa kepada kongres, perubahan dalam struktur pentadbiran atau isu yang boleh ditangani oleh setiausaha agung bersama staf,” jelasnya.
Kelmarin, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengumumkan peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, sekali gus menyaksikan urusan pentadbiran badan induk itu dikendalikan jawatankuasa interim diketuai Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman.
Windsor turut menjelaskan bahawa pasukan AFC akan bekerjasama rapat dengan pengurusan FAM sepanjang proses pembaikan tersebut bagi memastikan perubahan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, penilaian akan dibuat secara menyeluruh termasuk aspek yang paling kecil bagi mengenal pasti jurang, kelemahan serta ruang penambahbaikan demi memperkukuh pembangunan bola sepak Malaysia.
“Proses pemilihan kepemimpinan tetap akan dihormati dan dilaksanakan. Namun, sebelum itu kami mahu melakukan semakan organisasi secara menyeluruh kerana pemilihan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi FAM.
“Kami juga mahu membentangkan kepada kongres perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk menjadikan FAM sebuah organisasi yang lebih baik, termasuk kemungkinan perubahan struktur dan statut agar selari dengan kehendak FIFA dan AFC,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa bukan semua perkara dalam FAM bermasalah, sebaliknya badan induk itu memiliki asas yang kukuh selepas lebih satu abad ditubuhkan.
“Ini organisasi yang berusia 100 tahun dan ia tidak mungkin bertahan selama ini jika semuanya salah.
“FAM adalah sebuah badan yang kukuh, namun kami mahu mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya menerusi pembaharuan serta struktur yang lebih baik. Itu sahaja matlamat kami,” katanya. – UTUSAN










