PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya akan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijangka berlangsung pada Ogos dan September depan.
Penyertaan dalam kejohanan itu bakal menyaksikan skuad kebangsaan berdepan cabaran baharu kerana akan berentap dengan lapan pasukan ternama termasuk dua gergasi Asia, Iran dan Uzbekistan.
Untuk rekod, Iran ketika ini berada di tangga ke-18 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Uzbekistan (ranking 57) sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026.
Selain itu, lima lagi pasukan turut dijangka menyertai kejohanan itu termasuk Oman (77), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan juga Afghanistan (160).
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menyifatkan penyertaan ke kejohanan itu sebagai peluang terbaik untuk memperkukuhkan skuad Harimau Malaya selain mempersiapkan pasukan dalam suasana kompetitif.
“Kami berbangga untuk menyertai Kejohanan CAFA 2025. Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar menentang pasukan-pasukan kuat.
“Pengalaman ini akan menguji kami dalam pelbagai aspek, di dalam dan di luar padang, dan ia amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan.
“Kejohanan ini merupakan satu lagi peluang penting untuk Harimau Malaya mengharumkan nama negara, menyemarakkan semangat penyokong, dan terus membina perpaduan yang diimpikan oleh bola sepak Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Cklamovski sudah memberi bayangan bahawa skuad Harimau Malaya yang berada di ranking 131 dunia mempunyai perancangan menarik bagi jendela perlawanan antarabangsa pada September ini.
Penyertaan dalam Piala Negara-Negara CAFA 2025 itu juga dilihat menjadi faktor Harimau Malaya menolak pelawaan Indonesia untuk mengadakan aksi persahabatan pada jendela perlawanan antarabangsa itu.
Piala CAFA 2025 bakal berlangsung 26 Ogos hingga 9 September depan selepas itu, skuad negara akan mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 dalam Kumpulan F menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober sebelum berdepan Nepal, 18 November.- UTUSAN