PETALING JAYA: Perdebatan mengenai kualiti pemain tempatan kembali hangat apabila label ‘jaguh kampung’ terus dilemparkan terhadap barisan Harimau Malaya, khususnya apabila prestasi pasukan dilihat masih bergantung kepada pemain warisan dan naturalisasi.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, pengenalan projek naturalisasi dan pemain warisan berpunca daripada kegagalan konsisten skuad yang digerakkan sepenuhnya oleh pemain tempatan pada masa lalu.
“Fakta menunjukkan, kita pernah dimalukan Emiriah Arab Bersatu(UAE) 10-0 dengan skuad 100 peratus pemain tempatan.
“Jadi sebab itu naturalisasi dan warisan diperkenalkan sebagai jalan segera untuk bersaing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengakui pendekatan itu masih belum mampu mengangkat prestasi Malaysia ke tahap lebih tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada sistem pembangunan sedia ada benar-benar berkesan.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar satu pelan pembangunan bola sepak jangka panjang dirangka secara menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pakar akademik, sains sukan serta pembangunan akar umbi.
“Kita perlu duduk semeja, kenal pasti ‘penyakit’ sebenar bola sepak negara sebelum kita bercakap tentang penyelesaian atau meniru model luar seperti Jepun atau Korea Selatan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berpandangan dalam memperkukuh sistem akar umbi termasuk peranan Akademi Mokhtar Dahari serta program pembangunan seperti Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
“Yang penting ialah bakat muda dikenal pasti lebih awal di akademi dan dibentuk secara sistematik supaya benar-benar bersedia ke peringkat lebih tinggi.
“Kebergantungan kepada pemain warisan dan naturalisasi hanyalah solusi jangka pendek, bukan asas kepada kekuatan masa depan Harimau Malaya,” jelasnya
Untuk rekod, sebelum ini Malaysia terpaksa akur apabila tunduk 3-1 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap kualiti pemain tempatan dalam kebergantungan pemain naturalisasi serta warisan.
Kali terakhir skuad negara menewaskan Vietnam yang dianggotai sepenuhnya oleh pemain tempatan pada 2014 dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki yang menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh menang 4-2 di Hanoi sekali gus mara ke perlawanan akhir dengan agregat 5-4. – UTUSAN










