PETALING JAYA: Pemain tempatan tidak boleh lagi dibuai dalam zon selesa jika tidak mahu tempat mereka diisi pemain warisan dan naturalisasi dalam skuad kebangsaan.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, perubahan zaman menyaksikan landskap bola sepak kini jauh berbeza berbanding era beliau mengendalikan skuad kebangsaan yang hanya bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan.
“Dulu kita 100 peratus pemain tempatan, tak ada istilah warisan atau naturalisasi. Sekarang persaingan memang jauh lebih hebat. Pemain tempatan kena usaha lebih, jangan duduk di bawah tempurung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kataya, antara isu utama yang membelenggu kualiti pemain tempatan ialah kegagalan mereka menyesuaikan diri selepas keluar beraksi di luar negara, apabila tahap permainan masih tidak banyak berubah apabila kembali ke liga domestik.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh peranan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang disifatkan sebagai ‘gudang pembangunan’ bakat muda negara, namun perlu disusuli dengan laluan lebih jelas ke peringkat kompetitif seperti negeri dan liga profesional.
“Masalahnya, nak ketuk pintu pasukan negeri pun susah sebab terlalu ramai pemain import. Walaupun import itu bagus untuk persaingan, pemain tempatan akhirnya terhimpit,” katanya.
Mengulas mengenai dominasi pemain import dalam Liga Malaysia (Liga M), beliau tidak menafikan situasi itu berpunca daripada tekanan keputusan yang dihadapi jurulatih.
“Jurulatih kalau ambil pemain tempatan tapi kalah, kontrak boleh tergugat. Jadi mereka pilih import terbaik untuk selamatkan pasukan,” jelasnya.
Namun begitu, beliau menegaskan pembangunan akar umbi perlu diperkasakan dengan penekanan terhadap fasiliti, sains sukan serta kaedah latihan moden bagi memastikan pemain tempatan benar-benar bersedia di peringkat tertinggi.
“Kita kena fokus teknik dari umur muda. Bila masuk peringkat profesional, bukan lagi ajar teknik, tapi taktikal,” katanya.
Sebelum ini, pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, pemain tempatan perlu keluar dari kepompong selesa jika tidak mahu terus dilabel sebagai ‘jaguh kampung’ setiap kali beraksi di pertandingan antarabangsa. – UTUSAN










