SPIELBERG: Perlumbaan Grand Prix (GP) Austria Formula Satu (F1) hari ini terpaksa ditangguhkan selama 10 minit selepas kereta Carlos Sainz dari pasukan Williams terbakar di atas grid.
Insiden berlaku sejurus sebelum pusingan formasi apabila Sainz gagal menggerakkan jenteranya dan memerlukan bantuan penolak daripada petugas litar.
Pemandu Sepanyol itu sepatutnya memulakan perlumbaan dari lorong pit, namun brek belakang keretanya tiba-tiba terbakar ketika mengejar kelompok pelumba lain.
Kereta berkenaan tidak dapat dibaiki dalam tempoh singkat dan Sainz terpaksa menarik diri daripada perlumbaan.
Suhu perlumbaan direkodkan sangat panas dengan suhu udara mencecah 32 darjah Celsius manakala suhu litar mencecah 54 darjah.
“Saya tidak dapat bayangkan suhu tempat duduk. Mungkin mencecah 200 darjah,” kata juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Aston Martin. – AGENSI