City didenda RM5.7 Juta

City didenda RM5.7 Juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester City dikenakan denda sebanyak 1 juta pound (RM5.7 juta) oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas didapati melanggar peraturan berkaitan sepak mula dan sepak semula dalam sembilan perlawanan sepanjang musim lalu.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut juara EPL itu dikenakan tindakan atas kesalahan sama, selepas mereka sebelum ini membayar denda 2 juta pound (RM11.4 juta) kepada liga pada tahun lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, EPL menjelaskan bahawa peraturan berkenaan diwujudkan bagi menjamin tahap penganjuran perlawanan yang tinggi, serta memastikan penyiaran perlawanan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Peraturan berkaitan sepak mula dan permulaan semula membantu memastikan penganjuran pertandingan ditetapkan pada standard profesional tertinggi yang mungkin dan memberikan kepastian kepada peminat dan kelab yang mengambil bahagian,” jelas kenyataan itu.

Perlawanan yang terlibat melibatkan pertemuan City di tempat sendiri menentang Southampton, Tottenham Hotspur, Nottingham Forest, Manchester United, West Ham United dan Newcastle United, serta aksi di tempat lawan menentang Crystal Palace, Aston Villa dan Ipswich Town.

Difahamkan, kelewatan paling lama direkodkan ialah selama dua minit 22 saat, iaitu ketika perlawanan menentang West Ham dan Ipswich.

Manchester City dalam pada itu mengesahkan menerima hukuman tersebut dan memohon maaf atas pelanggaran peraturan terbabit.

Kelab turut memaklumkan bahawa mereka telah memberi peringatan kepada pemain dan kakitangan berhubung pematuhan terhadap peraturan pertandingan.

Sementara itu, City juga masih menunggu keputusan siasatan terhadap 115 pertuduhan berasingan berkaitan pelanggaran Peraturan Kewangan Adil (FFP) yang didakwa berlaku sejak 2009 hingga musim 2022/2023.

Kelab tersebut bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN