Beraya sakan hasil padi, berkat bantuan kerajaan dan BERNAS

Beraya sakan hasil padi, berkat bantuan kerajaan dan BERNAS

MOHD. Izuan Zainal Abidin menyembur racun pada batas selepas musim menuai di petak sawahnya di Sawah Sempadan, Tanjung Karang, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG KARANG: Bagi pesawah Mohd. Izuan Zainal Abidin, sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini jauh lebih bermakna apabila hasil tuaian padi yang lumayan membolehkan keluarganya ‘beraya sakan’ selepas enam bulan bertungkus-lumus di sawah.

Jika Aidilfitri lalu terpaksa dikorbankan demi memastikan tanaman tidak diserang serangga perosak, Aidiladha kali ini membawa rezeki besar hasil daripada kerja kerasnya serta sokongan pelbagai pihak, khususnya daripada kerajaan dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Musim lalu memang mencabar. Cuaca tak menentu, serangan perosak Bena Perang serang sampai 0.6 hektar sawah saya rosak. Masa itu raya pun tak sempat nak jenguk keluarga sebab sibuk selamatkan padi. Tapi syukur, dengan pengalaman dan bantuan BERNAS, saya dapat kawal keadaan,” katanya.

Pendapatan Berganda, Semangat Baharu

Pesawah separuh masa itu berkata, berkat penyertaan dalam program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diterajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan diselia oleh BERNAS, hasil sawahnya melonjak sehingga 60 peratus.

“Kalau sebelum ini untung sekitar RM3,000, sekarang hasil boleh cecah RM5,000. Subsidi harga padi kerajaan RM500 per tan pun banyak membantu. Ditambah pula BERNAS bantu dengan sewa jentera menuai dan bimbingan teknikal. Kos lebih rendah, hasil lebih baik,” katanya.

Menurut Mohd. Izuan, bantuan berbentuk subsidi baja dan racun menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta latihan daripada BERNAS bukan sahaja mengurangkan kos operasi, malah meningkatkan produktiviti.

“Bantuan macam ini mungkin orang luar tak nampak, tapi bagi kami pesawah – sangat besar maknanya. BERNAS ada waktu susah, beri tunjuk ajar, bantu cari penyelesaian bila masalah timbul,” katanya.

MOHD. Izuan Zainal Abidin memeriksa biji benih padi selepas musim menuai di Sawah Sempadan, Tanjung Karang.

Azam Besar, Mahu Luaskan Sawah

Menurutnya, dia memulakan langkahnya ke alam pertanian dengan hanya mengambil upah di sawah milik orang sebelum mengorak langkah berkongsi modal dengan rakannya untuk menyewa 1.8 hektar tanah.

“Musim demi musim, daripada hanya 1.8 hektar sawah yang diusahakan bersama rakan, kini saya mengurus sekitar tujuh hektar sawah secara bersendirian sejak beberapa musim lalu bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Berbekalkan hasil memberangsangkan itu, Mohd. Izuan merancang untuk menanam padi wangi di musim Julai-Oktober ini dengan harapan mendapat pulangan lebih baik.

“Dulu masa pandemik hampir putus asa. Tapi saya bangkit balik. Sekarang dengan sokongan BERNAS dan kerajaan, saya yakin boleh teruskan usaha. Tanah tujuh hektar ni saya nak maksimumkan hasilnya,” katanya penuh semangat.

Bapa kepada tiga anak itu turut aktif menyertai bengkel pertanian serta menjadi antara pesawah rujukan dalam pembangunan varieti padi tahan cuaca ekstrem.

Keterjaminan Makanan Negara, Tanggungjawab Bersama

Mohd. Izuan melihat kerjayanya bukan sekadar mencari rezeki, tetapi sebagai sumbangan kepada negara.

“Bila tengok orang makan nasi di restoran, saya rasa puas. Itu hasil titik peluh pesawah. Keterjaminan makanan ini bukan kerja kerajaan atau BERNAS sahaja, pesawah pun ada peranan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bantuan khas tambahan yang keseluruhannya berjumlah RM90 juta oleh BERNAS bagi meringankan beban pesawah di seluruh negara – inisiatif yang diakui sangat membantu pesawah seperti Mohd. Izuan untuk terus berjuang dan berkembang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN