KUBANG PASU: Penduduk Kampung Pida 3, Jerlun di sini, menyifatkan kematian seorang pesawah akibat ditetak hingga putus kepala oleh adik iparnya, terlalu kejam.
Muhammad Adam Iqwan Ismail, 18, berkata, dia tidak menyangka mangsa mati sehingga putus kepala ditetak suspek.
“Apa yang berlaku ke atas mangsa sangat kejam, tak tahu apa punca dia ditetak dengan parang sehingga putus kepala,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Katanya, ketika pergi ke lokasi terbabit, mayat mangsa masih di dalam bendang sementara polis mengawal tempat kejadian.
Tambahnya, dia pernah berjumpa dengan mangsa sebelum ini ketika meminta pokok di rumahnya dan menyifatkan lelaki itu seorang yang baik.
Akhbar ini malam tadi melaporkan seorang pesawah berusia 45 tahun putus kepala dipercayai ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, mayat mangsa yang putus kepala, ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur. – UTUSAN










