ASEAN kurang semangat keusahawanan - Ramos-Horta

ASEAN kurang semangat keusahawanan – Ramos-Horta

JOSE Ramos Horta semasa melawat kampus di Taylor’s University. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN masih kurang mempunyai semangat keusahawanan sebenar antara negara anggota apabila China merupakan rakan dagang kedua terbesar di Timor-Leste.   

Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta berkata, China juga semakin mengukuhkan kedudukan untuk memintas Indonesia yang menyumbang 70 peratus barangan import di negara itu.

Beliau menjelaskan, pelaburan rentas negara di rantau ASEAN masih rendah, tidak seperti China yang telah menjadi pelabur dan rakan dagang global.

“Tanpa sebarang strategi khusus, rakan dagang utama kami ialah Indonesia dengan menyumbang 70 peratus barangan import. Mengapa negara jiran serantau seperti Singapura, Malaysia, Thailand dan Filipina tidak memainkan peranan lebih aktif dalam hubungan perdagangan dengan Timor-Leste? 

“Berapa ramai pelabur Thailand yang melabur di Filipina atau Indonesia, dan sebaliknya? ASEAN belum mencapai tahap keberanian dan visi yang diperlukan. 

“China yang jauh boleh menjadi antara rakan dagang utama, mengapa tidak negara-negara ASEAN? Saya melihat ini berpunca daripada kurangnya semangat keusahawanan sejati dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelantikan sebagai Profesor Adjung Kehormat bagi Program Pengajian Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) di Taylor’s University, hari ini.

Timor-Leste bakal menjadi anggota tetap ASEAN Ke-11 menjelang Oktober ini.

Ramos-Horta berkata, negara itu terlibat secara aktif dalam ekonomi, politik dan diplomasi serantau atas faktor geografi yang meletakkannya dalam Asia Tenggara, walaupun Timor-Leste belum menjadi anggota penuh ASEAN. 

Beliau berharap melalui penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN serta visi baharu menjelang 2040, rantau itu dapat membentuk ekonomi yang lebih menyeluruh dan terintegrasi dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Dengan 700 juta penduduk dan kebebasan pergerakan modal, rakyat dan ilmu, ASEAN berpotensi menjadi sebuah wilayah yang lebih padu serta memberi manfaat kepada semua negara, termasuk Timor-Leste yang berada di pinggiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN