PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-67 kepada seluruh warga dan veteran TUDM.
Sultan Ibrahim yang juga sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komitmen warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.
“Semoga TUDM terus maju, unggul dan disegani serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam menjalankan amanah demi tanah air tercinta.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan di Facebook Seri Paduka hari ini.
Ulang tahun ke-67 TUDM kali ini membawa tema ‘Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara’ menekankan peranan penting TUDM dalam mempertahankan negara daripada ancaman. – UTUSAN