Warga emas temui ajal ketika hendak ke kelas mengaji 

Warga emas temui ajal ketika hendak ke kelas mengaji 

SITI Safur Abdullah menunjukkan gambar kakaknya, Habsah @ Salimah ketika ditemui di rumahnya di Jalan Weng-Baling, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dilanggar sebuah lori membawa batu dalam kemalangan di hadapan pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Baling, Jalan Weng di sini, hari ini.

Nahas kira-kira pukul 9 pagi meragut nyawa Habsah @ Salimah Abdullah, 78, yang ketika itu sedang melintas jalan untuk mengikuti kelas mengaji di seberang jalan dan terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Adik mangsa, Siti Safur, 64, berkata, kakaknya keluar rumah selepas menunaikan solat Dhuha tanpa memaklumkannya, sehingga tidak lama kemudian beberapa penduduk memberitahu kakaknya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, dia menyedari terdapat kemalangan di kawasan itu namun menyangka ia melibatkan jirannya yang keluar rumah tidak lama selepas kakaknya keluar.

“Saya segera ke tempat kejadian, kakak telah disahkan meninggal dunia, sebelum itu beberapa anak saudara yang ada di sekitar tempat kejadian sempat mengajarnya mengucap.

“Selepas Aidilfitri lalu, ini kali kedua kakak ke tempat mengaji yang diadakan setiap minggu kerana masalah kesihatan dihadapinya, kali ini kakak berdegil hendak pergi juga walaupun pelbagai alasan saya berikan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Siti Safur, mereka berdua tinggal bersama dan setiap malam sebelum tidur, dia tidak lupa memaklumkan kakaknya bahawa sentiasa mendoakan keselamatannya.

“Kami berdua amat rapat dan setiap kali saya doakan dia begitu, kakak sangat gembira mendengarnya. Saya reda dengan pemergiannya yang masih dalam keadaan berwuduk ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md. Ali mengesahkan kejadian dan memberitahu siasatan masih dijalankan pihaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN