KOTA KINABALU: Kerajaan tidak boleh bersikap diktator dan mudah mengarahkan siasatan sebarang kes rasuah tanpa melalui proses undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menjawab dakwaan bahawa pentadbirannya tidak mengambil tindakan tegas berhubung siasatan skandal rasuah pemimpin Sabah walaupun mempunyai video dikaitkan dengan kes tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa bukan menjadi tanggungjawab Perdana Menteri untuk menyiasat, mendakwa atau menghukum kerana tindakan sedemikian mencerminkan sifat pemerintahan diktator.
“Saya tidak mahu memegang jawatan dalam kerajaan untuk melindungi pesalah. Perdana Menteri mesti mengambil tindakan tegas. Ini Perdana Menteri bukan diktator, saya ikut hukum dan perlu lalui proses. Saya tidak boleh tangkap begitu sahaja.
“Siasat kerja SPRM atau polis. Yang dakwa pula itu kerja Peguam Negara dan memberi hukuman itu kerja hakim. Perdana Menteri perlu berjaga supaya sistem itu berjalan.
“Bukan Perdana Menteri yang siasat, dakwa dan hukum. Itu diktator namanya. Itu pernah kita lalui dahulu, jangan minta saya ulangi sistem itu dan orang begitu dijaga sekarang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini. – UTUSAN