PETALING JAYA: Malaysia menggesa Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel menghentikan segala bentuk tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta kembali ke landasan diplomasi bagi mengelakkan krisis lebih besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi semasa yang tercetus susulan serangan udara terhadap Iran kini meletakkan rantau itu dalam keadaan genting dan berisiko mencetuskan ketidaktentuan lebih luas.
“Malaysia dengan tegas menggesa Israel, Amerika Syarikat dan Iran agar menghentikan segala tindakan provokatif dan kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog.
“Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, dalam situasi itu, gencatan senjata secara serta-merta dan tanpa syarat merupakan keperluan mendesak bagi meredakan ketegangan yang dilihat semakin memuncak.
“Gencatan senjata yang segera dan tanpa syarat adalah keperluan mendesak susulan serangan Israel terhadap Iran yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka,” katanya,
Dalam masa sama, perkara itu disifatkan sebagai satu lagi episod duka yang menimpa umat Islam, dengan konflik berpanjangan di rantau berkenaan terus meragut nyawa serta menjejaskan kehidupan masyarakat awam.
“Bukankah ini satu tragedi besar bagi umat Islam? Tanpa upaya, tiada kekuatan dan di bulan Ramadan.
“Kalau belum kita dapat belajar erti perpaduan dan akhlak yang baik, saya tidak tahu apa lagi boleh mengajar kita.
“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita, menjaga diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, negara kita dan juga mendoakan sahabat-sahabat yang terus mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan,” katanya. – UTUSAN










