Thailand komited terhadap Visi Komuniti ASEAN 2045

Thailand komited terhadap Visi Komuniti ASEAN 2045

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Thailand komited terhadap integrasi serantau yang lebih mendalam susulan penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) pada  Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 Kuala Lumpur.

Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata, ia merupakan satu langkah yang dijangka memperkukuh hubungan antara negara anggota dan rakan kongsi luar. 

“Ini selaras dengan keutamaan Thailand seperti memperkukuh keselamatan, pembangunan tenaga kerja, pemerkasaan penjagaan kesihatan, peningkatan kesalinghubungan, pembangunan infrastruktur mampan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

“Inisiatif ini sejajar dengan dasar dan komitmen berterusan kerajaan Thailand,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menandatangi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Jirayu berkata, ACV 2045 bersama pelan strategik akan digabungkan dalam satu dokumen komprehensif bertajuk ‘ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita’.

Beliau memberitahu, visi tersebut merangkumi bidang utama seperti kerjasama politik dan keselamatan, kemajuan ekonomi, inisiatif sosiobudaya, kesalinghubungan dan pemerkasaan institusi dengan matlamat mewujudkan Komuniti ASEAN yang kukuh, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat.

Dokumen yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 selepas disahkan oleh pemimpin serantau yang hadir itu akan membentuk hala tuju ASEAN bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Visi Komuniti ASEAN 2045 akan menggantikan dokumen ‘ASEAN 2025: Forging Ahead Together’ yang diterima pakai pada 2015 dan menjadi panduan pembangunan Komuniti ASEAN sepanjang dekat lalu.

Ia juga mengukuhkan komitmen ASEAN terhadap integrasi serantau menerusi tiga tonggaknya iaitu Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN