Kuala Lumpur: Taktik licik sindiket penipuan telefon menyamar sebagai polis Jepun terbongkar selepas polis menyerbu sebuah banglo tiga tingkat yang dijadikan pusat panggilan haram di Kajang, 13 Mei lalu.
Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman itu, polis menahan lapan suspek iaitu enam lelaki warga Jepun dan dua lelaki warga China berusia 23 hingga 56 tahun.
Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, sindiket dikesan aktif sejak dua bulan lalu dan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Jepun sahaja.
“Sindiket menggunakan aplikasi Bria Mobile bagi meniru nombor telefon rasmi Polis Osaka dan menghantar SMS palsu konon mangsa disiasat, sebelum menghubungi mereka bagi memancing data serta wang,” katanya ketika sidang akhbar JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.
Jelas beliau, mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang dan memberikan maklumat peribadi, malah turut diarahkan melaporkan pergerakan harian sebelum komunikasi mereka diputuskan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas tujuh iPad, satu komputer riba, sembilan telefon bimbit, sembilan modem, satu skrip penipuan dan satu rangkai kunci bernilai RM25,000.
Katanya, dua suspek warga China telah dituduh pada 22 Mei lalu, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1956/63, manakala enam warga Jepun akan didakwa di Mahkamah pada 3 Jun.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan atau mesej yang menyamar sebagai pihak berkuasa, terutama dari luar negara. –UTUSAN