Sidang Kemuncak ASEAN-AS sedia dianjur bila-bila masa

Sidang Kemuncak ASEAN-AS sedia dianjur bila-bila masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN menyatakan kesediaannya untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa dalam tahun ini, sebaik sahaja menerima pengesahan rasmi daripada Presiden Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah menghantar permohonan rasmi kepada Trump berhubung penganjuran sidang tersebut.

Anwar berkata, ketika ini pihaknya hanya menantikan maklum balas serta persetujuan daripada negara besar itu.

“Jadi saya tidak fikir ia menjadi isu dalam apa-apa cara sekalipun. Jika esok kita menerima surat daripada Presiden Trump yang menyatakan persetujuan untuk mengadakan sidang kemuncak pada bulan Jun atau jika Jun terlalu awal, maka dalam beberapa bulan akan datang pun tidak mengapa.

“Kita tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya dalam sidang akhbar sempena penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Trump bagi memohon sokongan beliau untuk menganjurkan satu pertemuan antara ASEAN dan AS.

Ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN pada Isnin, Anwar berkata, ia susulan mandat yang dipersetujui semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN seperti mana diadakan di Langkawi awal tahun ini.

Pada 5 April lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-AS di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif.

Sementara itu, berhubung isu tarif, ASEAN mencapai kata sepakat sebarang keputusan yang dikenakan oleh AS perlu dibuat berdasarkan persefahaman bersama dalam kalangan negara anggota, tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak dalam blok serantau itu.

“Dalam rundingan dua hala yang sedang berjalan, konsensus antara negara anggota ASEAN adalah jelas serta tiada keputusan berkaitan tarif harus diambil secara bersendirian yang boleh menjejaskan rakan serantau lain.

“Mengenai tarif, ketika meneruskan rundingan dua hala, konsensusnya adalah perlu ada beberapa bentuk persefahaman dalam ASEAN dan sebarang keputusan tidak sepatutnya mengorbankan negara lain,” katanya.

Anwar turut menyifatkan usaha melindungi kepentingan kira-kira 650 hingga 660 juta penduduk ASEAN sebagai satu kemajuan besar dalam kerjasama serantau.

“Perhatian kini beralih kepada pelaksanaan susulan oleh para menteri, kementerian berkaitan serta pegawai-pegawai bertanggungjawab bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan secara menyeluruh menjelang Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN