Sudah hampir dua tahun kembali bergelar ibu tunggal, penyanyi, Salamiah Hassan, 74, tidak berhasrat untuk mencari pengganti suaminya bagi menemani hidupnya.
Bukan mudah untuk mencari pengganti lebih-lebih lagi apabila seseorang itu merupakan insan yang sangat baik budi pekertinya dan seorang yang sangat penyayang.
Ditanya berkaitan kemahuannya mencari pengganti, Salamiah atau mesra disapa mama pantas berkata tidak kerana ingin berjumpa suaminya, Allahyarham Gerald Hughes atau Gerry di syurga kelak.
“Tidak, jika diizinkan oleh Allah, mama mahu berjumpa suami di Jannah. Dia seorang yang sangat baik dan sering membaca Al-Quran lebih daripada mama.
“Dia adalah lelaki paling baik pernah mama jumpa, di bibirnya, dia sering mengucapkan “Assalamualaikum”. Setiap kali pergi melawat kuburnya, perkataan “Assalamualaikum” yang akan mama ucap dahulu.
“Hidup ini tidak mudah. Allah bagi semua yang mama mahu, tetapi dua bulan sahaja. Mama perlu terima kerana takkan kita mahu persoalkan takdir yang telah tertulis,” katanya.
Perkahwinan Salamiah dan jejaka Australia pilihannya itu bertahan selama dua bulan kerana suaminya telah meninggal dunia akibat masalah jantung pada Julai 2022.
Masih menyimpan voicenote arwah suaminya, pelantun lagu Gelombang itu sering mendengarnya setiap kali selepas solat apabila beliau merindui suaminya.
“Sebenarnya sangat sakit bila mendengar voicenote itu, tetapi setiap kali merinduinya selepas solat, mama akan mendengar voice note itu.
“Pernah ada satu masa, mama ingin buang sahaja voicenote itu, tetapi bila difikirkan semula, mama tidak akan dapat mendengar lagi suaranya. Oleh itu, mama simpan sampai sekarang,” jelasnya.
ERTI CINTA SEBENAR
Selepas 20 tahun mengenali suaminya, Salamiah mula membuka hati menerima lelaki asal Tasmania itu ketika mengetahui Gerry menghidap penyakit kanser.
“Kita menikah dengan dia bukan kerana fizikal, ketika itu saya mengetahui dia ada penyakit kanser, cepat-cepat saya terima cincin. Waktu itu kansernya sudah merebak ke paru-paru dan prostat.
“Bila sudah bernikah, mama pimpin tangan dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan kemoterapi setiap Isnin hingga Jumaat, memberikannya ubat setiap kali dia rasa sakit.
“Bagi mama, itu adalah cinta sebenar dan pengajaran yang paling mahal dalam hidup mama,” ujarnya.
KONSERT GELOMBANG BAHAGIAKU
Pertama kali bakal berkongsi pentas bersama anak perempuannya, Atilia Haron, penyanyi wanita itu berkongsi keterujaannya untuk menjayakan konsert tersebut.
Konsert Gelombang Bahagiaku gabungan ibu dan anak itu bakal diadakan di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 16 Ogos, yang berlangsung kira-kira 2 jam 30 minit, menampilkan 10 lagu setiap seorang dan tiga lagu duet.
“Konsert Gelombang Bahagiaku bukan sahaja menyatukan dua vokal yang berbeza latar muziknya, tetapi turut menggabungkan dua dunia, generasi dan jiwa yang berpadu dalam satu nada.
“Saya sangat teruja, walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya ia akan menjadi satu gabungan yang cukup istimewa buat para penonton.
“Ini adalah kali pertama saya dan Atilia bergabung dalam satu pentas yang besar, dan saya sangat bersyukur di atas kesempatan yang diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun umurnya sudah mencecah 74 tahun, Salamiah kelihatan masih muda dan kuat dalam menjalani kehidupan seharian.
Berkongsi tentang persediaan konsert dan cara penjagaan kesihatan, kini Salamiah lebih gemar berenang berbanding dahulu, beliau lebih suka berjoging.
“Dahulu mama selalu berjoging dan pergi ke gim, kalau sudah tidak larat, mama sering berjalan, tapi sekarang lebih kepada berenang.
“Untuk mengelakkan kesakitan pada umur seusia mama, joging akan buat lutut kita sakit, jadi perkara yang terbaik adalah berenang.
“Aktiviti ini juga sangat bagus untuk mendapatkan tidur yang lena dan paru-paru yang sihat,” jelasnya.
Tambah Salamiah, beliau telah mempraktikkan aktiviti itu sejak beberapa tahun lalu untuk kekal berstamina.