Siswazah Orang Asli Seletar tekad ubah nasib keluarga. - Utusan Malaysia

Siswazah Orang Asli Seletar tekad ubah nasib keluarga.

Cempaka Sari menerima ciuman tahniah dari ibunya sambil diperhatikan adik beradiknya selepas menerima diploma sistem komputer sempena Konvokesyen Kolej Yayasan Pelajaran Johor ke 26 di Dewan Besar YPJ, Kota Tinggi, Johor kelmarin. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kesukaran hidup bukan alasan bagi Chempaka Sari, 21, anak Orang Asli suku Seletar dari Sungai Tiram, Johor Bahru menyerah kalah dalam mengejar ilmu.

Anak sulung daripada empat beradik itu kini boleh berbangga apabila berjaya menamatkan pengajian Diploma Sistem Komputer di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan sepanjang pengajian.

“Pernah satu minggu saya hampir tidak makan nasi dan hanya bertahan dengan roti serta jajan ketika di asrama kerana kekangan kewangan.

“Namun, saya bersyukur kerana berkat kesabaran akhirnya saya dapat juga menamatkan pengajian,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) Ke-26 di sini kelmarin.

Chempaka Sari yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 2.89 mengakui
kesusahan yang dialami keluarga menjadi pendorong untuknya berusaha gigih demi mengubah nasib mereka.

Dia kini menjadi tonggak keluarga apatah lagi bapanya sudah meninggalkan mereka, manakala ibunya hanya merupakan suri rumah.

Tiga adiknya, masing-masing berusia 19, 13 dan tujuh tahun turut menjadi sumber semangat untuknya terus berusaha gigih agar dapat membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Cita-cita saya mahu menjadi tenaga pengajar (cikgu) dalam bidang komputer supaya dapat berkongsi ilmu dan memberi inspirasi kepada anak-anak Orang Asli lain,” katanya.

Majlis penyampaian skrol bagi sesi petang konvokesyen berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asman Shah Abd. Rahman.

Majlis konvokesyen pada kali ini mengaksikan seramai 884 graduan KPYPJ menerima sijil dan diploma masing-masing yang berlangsung di Dewan Besar Kampus Induk KYPJ, dekat sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN