PM arah bahasa Melayu diutama dalam setiap bahan komunikasi sebar dasar kerajaan - Utusan Malaysia

PM arah bahasa Melayu diutama dalam setiap bahan komunikasi sebar dasar kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya bahasa Melayu perlu diutamakan secara mutlak dalam setiap bahan komunikasi bagi menyebarkan dasar-dasar kerajaan.
Perkara itu ditekankan Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara Bilangan 1 Tahun 2026 semalam.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penggunaan bahasa Melayu mesti digunakan dalam pembentangan mahupun klip video rasmi, persembahan montaj, video korporat serta apa-apa bahan komunikasi lain.
“Peningkatan langkah-langkah bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam terutamanya dalam pembentangan di mesyuarat-mesyuarat rasmi dan penganjuran program seperti latihan, seminar dan lain-lain.
“Pengauditan dan pemantauan pemerkasaan bahasa Melayu di kementerian dan jabatan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan pematuhan kepada arahan ini,” katanya dalam kenyataan.
JPA berkata, kerajaan amat menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32].
Selain itu, perkara ini turut diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam.
“JPA juga telah mengeluarkan Surat Edaran JPA.100-9/1/1 JLD.2 (80) bertarikh 29 Oktober 2025 berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan.
“Surat Edaran ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN