JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi pengajian tinggi diberi pendedahan mengenai aspek kepimpinan dan politik menerusi kursus khas disediakan.
Ahmad Zahid berkata, kursus khas tersebut bertujuan menerapkan kefahaman kepada pelajar mengenai landskap politik negara sekali gus membentuk kepimpinan yang lebih matang.
“Dalam situasi begitu, saya harap MPP, bawalah seluruh MPP dengan kebenaran Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir). Ya, kami biayai mereka memasuki kursus kepimpinan agar mereka terdedah di dalam bidang politik untuk mencorakkan warna politik sebenar di tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Apa Khabar Siswa? di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, kerajaan bersedia menyediakan kursus berkenaan sekiranya ia mendapat sambutan dalam kalangan MPP di seluruh negara.
“Jika ada permintaan daripada mereka, kita sediakan kursus berkenaan. Kita telah mulakan inisiatif itu dalam kalangan pelajar universiti menerusi Sekolah Politik UMNO (SPU),” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, golongan pengundi muda memainkan peranan penting dalam menentukan landskap politik Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Dianggarkan kira-kira 51.5 peratus pengundi berada dalam kelompok usia 40 tahun ke bawah, termasuk pengundi berusia 18 tahun serta mereka yang pertama kali mengundi. Justeru, anak muda perlu membuat keputusan yang bijak, jangan sampai salah pilih,” katanya.
“Saya sendiri mula aktif dalam politik ketika menjadi pemimpin pelajar di Universiti Malaya (UM). Yang penting, anak-anak muda mesti mengambil tahu tentang politik walaupun tidak mahu terlibat aktif.
“Jangan sia-siakan peluang mengundi kerana undi penentu itu penting untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah organisasi politik,” katanya.-UTUSAN










