Projek Loji Rawatan Air Langat 2 terima tiga penghargaan Malaysia Book of Records - Utusan Malaysia

Projek Loji Rawatan Air Langat 2 terima tiga penghargaan Malaysia Book of Records

JASENI Maidinsa (tiga dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Zulkiflee Omar (dua dari kiri), Pengarah Projek Aset Air Berhad (PAAB), Johari Sinal (kiri), Timbalan Pengerusi Eksekutif Salcon Berhad, Tan Seri Datuk Tee Tiam Lee (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Salcon Engineering Berhad, Jamiluddin Amini Sulaiman (kanan) dan Wakil Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh (tiga dari kanan) ketika bergambar pada Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book Of Records di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2), Pakej 3 melakar sejarah apabila berjaya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi tiga pencapaian nasional yang membuktikan keunggulan kejuruteraan negara berteraskan inovasi dan kelestarian alam sekitar.

Tiga pengiktirafan tersebut ialah Sistem Pengangkutan Sisa Rawatan Air jenis ‘pipe conveyor’ pertama di Malaysia dan Sistem ‘pipe conveyor’ terpanjang untuk sisa rawatan air di Malaysia sepanjang 1.918 kilometer.

Selain itu, sistem ‘shaftless screw conveyor’ terpanjang di Malaysia sepanjang 46 meter turut menerima anugerah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Ir. Zulkiflee Omar berkata, projek bernilai RM210 juta itu sebagai satu langkah transformatif dalam sektor air negara.

Kata beliau, pencapaian itu bukan sekadar menandakan satu lagi projek infrastruktur yang berjaya disiapkan, malah mencerminkan langkah transformasi yang signifikan dalam sektor air negara.

“Ia melambangkan kemajuan kolektif kita ke arah masa depan yang berpaksikan kelestarian, keselamatan dan inovasi, bukan sahaja dalam infrastruktur air tetapi juga dalam bidang kejuruteraan Malaysia secara keseluruhan.

“Penyempurnaan Pakej 3 ini turut menandakan pencapaian terakhir dalam Projek Mega Langat 2, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu loji rawatan air terbesar di Malaysia,” katanya semasa Majlis Penganugerahan MBOR yang diadakan di Tapak Projek Pakej 3, LRA Langat 2, di sini hari ini.

Projek LRA Langat 2 mempunyai kapasiti merawat sehingga 1,130 juta liter air sehari (MLD) dan mampu menghasilkan sehingga 400 tan sisa rawatan sehari bergantung kepada kualiti air mentah yang disalurkan dari Sungai Semantan di Pahang melalui terowong sepanjang 45 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat.

PAAB juga telah diamanahkan untuk melaksanakan pembangunan LRA Langat 2 yang merangkumi 26 pakej projek di kawasan utama Lembah Klang, termasuk barat dan utara Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling Jaya, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang dan Keramat AU3.

Tambah Zulkiflee, pengurusan sisa tersebut memerlukan sehingga 96 perjalanan lori setiap hari, yang membawa risiko keselamatan jalan raya, pelepasan karbon tinggi dan gangguan kepada komuniti setempat.

Namun, dengan pelaksanaan sistem ‘pipe conveyor’ ini, sisa dihantar secara automatik hampir dua kilometer ke tapak pelupusan khas berdekatan Kolam Imbangan Bunting tanpa melibatkan penggunaan kenderaan berat di jalan awam.

“Sistem ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon, malah menyokong komitmen negara terhadap kelestarian perubahan iklim,” katanya.

Tambah beliau, sistem ini mampu mengangkut 120 tan sisa sejam serta beroperasi sehingga lapan jam sehari dan mengelakkan lebih 35,000 perjalanan lori setahun sebagai satu penyelesaian mampan yang meningkatkan keselamatan, kecekapan operasi dan perlindungan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN