BANGI: Institusi pendidikan di Malaysia harus mengambil peluang penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia sebagai medium mendidik generasi muda agar memahami kepentingan sebenar Masjidil Aqsa serta perjuangan membebaskan Palestin.
Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Pas Pusat, Dr. Halimah Ali berkata, sambutan yang berlangsung bersempena peristiwa Israk dan Mikraj itu seharusnya dimanfaatkan bagi menyemai penghayatan terhadap roh perjuangan Al-Quds dalam kalangan umat Islam.
“Institusi pendidikan khususnya sekolah perlu memberi penekanan kepada isu Al-Quds pada waktu ini supaya umat Islam benar-benar memahami matlamat perjuangan membebaskan tanah suci tersebut.
“Ini juga peluang terbaik untuk mendidik generasi muda agar mereka menghayati nilai Masjidil Aqsa serta memahami hubung kaitnya dengan peristiwa Israk dan Mikraj, termasuk pengajaran yang terkandung di dalamnya,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Tenera di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco), Mohd Azam Abd. Samat berkata, sokongan terhadap Palestin tidak wajar bersifat sementara kerana penderitaan rakyat wilayah itu masih berlarutan meskipun wujud laporan mengenai bantuan dan usaha damai.
Menurutnya, keadaan sebenar di Gaza menunjukkan bantuan kemanusiaan masih berdepan pelbagai kekangan, manakala kekejaman rejim Zionis Israel terus berlaku.
“Minggu Al-Quds yang diraikan di peringkat antarabangsa dan di Malaysia melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan bertujuan memastikan kesedaran masyarakat terhadap isu Palestin sentiasa dipelihara.
“Perjuangan Palestin tidak akan terhenti. Malah, dimaklumkan tahun ini akan menyaksikan penyertaan lebih ramai aktivis dari seluruh dunia termasuk perancangan misi kapal antarabangsa yang bukan hanya digerakkan oleh umat Islam, tetapi turut melibatkan masyarakat global,” katanya.
Mohd. Azam turut menjelaskan bahawa sokongan terhadap Palestin kini semakin meluas merentasi sempadan agama apabila masyarakat bukan Islam dan negara-negara luar turut bangkit menentang penindasan atas dasar kemanusiaan sejagat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri Kedah memberi komitmen penuh untuk menyokong penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia yang dijadualkan melabuhkan tirai pada 29 dan 30 Januari ini di negeri tersebut.-UTUSAN










