PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai barangan mewah termasuk 23 jam tangan Rolex bernilai RM2.2 juta, selepas menggeledah rumah milik isteri kedua seorang bekas pegawai Tentera Darat (TDM) di Pantai Timur.
Menurut sumber, SPRM menggeledah rumah berkenaan pagi tadi dan menemukan dua buah bagasi dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemukan 23 jam tangan jenama Rolex pelbagai model dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta,” katanya.
Tambahnya, SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat (dalam kes berkenaan) dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Semalam, SPRM telah menyita emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SUV) dan wang tunai pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta susulan siasatan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
Wang tunai yang disita itu dalam mata wang dolar Amerika Syarikat, euro, pound, yen, dan riyal Arab Saudi.
Sitaan tersebut hasil pemeriksaan SVR di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang yang dipercayai ditinggalkan untuk tujuan pembaikan.
Barang kemas yang disita adalah tiga jongkong emas 999 setiap satu seberat satu kilogram dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
Turut disita sembilan jongkong emas setiap satu seberat 100 gram dianggarkan bernilai lebih RM500,000 di samping SVR dianggarkan bernilai kira-kira RM360,000 dipercayai dibeli secara tunai.-UTUSAN










