PETALING JAYA: Sambutan Pesta Kaamatan oleh masyarakat Sabah merupakan gambaran semangat perpaduan dan hubungan erat dalam kalangan komuniti majmuk yang berbilang kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan yang memasuki tahun ke-65 itu mencerminkan ketahanan, kekayaan dan warisan budaya masyarakat Sabah.
Bagaimanapun, katanya, masih ada yang tidak meneliti konsep sebenar perpaduan dan keharmonian yang sepatutnya menjadi tunjang utama dalam kerjasama sebuah komuniti.
“Tema Kaamatan Montok Toinsanan (Kaamatan untuk Semua) adalah cerminan ketahanan, kekayaan serta warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Namun begitu, tidak semua benar-benar menghayati konsep perpaduan yang seharusnya menjadi tunjang utama dalam menjalin hubungan tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Tambah Anwar, kerjasama itu juga ditunjukkan melalui sokongan daripada Kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap keperluan rakyat menerusi kerajaan negeri.
“Saya memberikan contoh bahawa elemen kebersamaan ini dapat dilihat melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, yang sentiasa mendengar serta mengambil berat akan nasib rakyat.
“Moga segala keperluan rakyat terus diberi keutamaan untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN