KUALA LUMPUR: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjangkakan pertumbuhan perdagangan antara rantau itu dengan ASEAN meningkat kepada 30 peratus atau AS$180 bilion (RM754 bilion) menjelang 2032 berbanding AS$130.7 bilion (RM562.01 bilion) tahun lalu.
Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata, dalam bidang ekonomi dan pelaburan, GCC adalah rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan potensi pelaburan sangat luas iaitu pertumbuhan perdagangan GCC-ASEAN melebihi AS$128 bilion pada 2023.
“Ini sekali gus mencerminkan keyakinan bersama dan integrasi ekonomi yang semakin mendalam. Justeru kami menekankan kepentingan untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknikal.
“Kami mengharapkan hasil positif dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedang berlangsung antara kedua-dua pihak akan meningkatkan peluang pelaburan dan menyokong rantaian bekalan serantau,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, hari ini.
Baginda berkata, dalam bidang politik dan keselamatan, GCC menegaskan komitmen terhadap dialog konstruktif, persefahaman bersama, menghormati kedaulatan dan tidak mencampuri urusan dalaman masing-masing.
“Semua ini penting untuk meningkatkan kestabilan serantau dan antarabangsa. Kami juga menyeru pengukuhan kerjasama dalam memerangi keganasan, ekstremisme, dan jenayah terancang, meningkatkan perkongsian maklumat risikan dan memperbaiki keupayaan tindak balas krisis,” katanya.
Mengenai keselamatan tenaga dan kerjasama perubahan iklim, GCC mengesahkan bahawa keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar adalah keutamaan antarabangsa utama.
“Kami menghargai kemajuan ASEAN dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dan menyatakan kesediaan untuk bertukar kepakaran dalam tenaga bersih, hidrogen hijau dan teknologi karbon rendah untuk menyokong matlamat Perjanjian Paris.
Berhubung sidang kemuncak hari ini, baginda berkata, ia penting dan merupakan satu stesen asas kepada GCC untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Kata baginda, ia mencerminkan hubungan erat dan memperbaharui komitmen untuk membina perkongsian strategik berasaskan kepentingan bersama dan prinsip undang-undang antarabangsa, sambil mempromosikan pembangunan inklusif dan lestari.
“Sidang Kemuncak Riyadh pertama antara kedua-dua pihak pada 20 Oktober 2023, merupakan permulaan yang berjaya untuk merangka rangka kerja kerjasama komprehensif.
“Kami berhasrat membina momentum ini dengan panduan Rangka Kerjasama Strategik ASEAN-GCC 2024–2028, yang berfungsi sebagai hala tuju untuk menginstitusikan perkongsian ini dan mengubahnya menjadi mekanisme praktikal yang mampu mencapai kemajuan nyata,” katanya. – UTUSAN