Pengurangan tarif AS kepada 10% adalah positif - Zafrul - Utusan Malaysia

Pengurangan tarif AS kepada 10% adalah positif – Zafrul

TENGKU DATUK SERI ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengurangan cadangan tarif kepada garis dasar 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia dilihat sebagai langkah positif, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau dalam temubual bersama Bloomberg TV di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berkata, levi sifar yang diharapkan sebelum ini adalah tidak mungkin.

“Secara adil, AS juga telah umum mengenai perkara ini, bahawa 10 peratus itu tidak boleh dirundingkan,” katanya.

Malaysia sebelum ini menghantar delegasi Lawatan Kerja ke Washington DC, Amerika Syarikat pada 22 hingga 24 April 2025 yang diketuai Zafrul bagi meneroka peluang kerjasama dan berunding berkaitan isu tarif tersebut.

Tawaran Malaysia kepada AS termasuklah menangani Halangan Bukan Tarif yang disenaraikan dalam National Trade Estimates Report 2025 yang dikeluarkan oleh AS baru-baru ini.

Sebagai balasan, pentadbiran Trump mahu Malaysia menangani ketidakseimbangan perdagangan, halangan bukan tarif, dan melindungi teknologi AS daripada disalurkan kepada pihak lain dan pelaburan.

Zafrul berkata, delegasi Malaysia dijangka untuk kembali ke meja rundingan minggu depan.

“Apa yang penting bagi kami ialah mencuba dan mencapai penyelesaian menang-menang,” ujarnya.

Tambahnya, AS adalah pasaran eksport terbesar Malaysia dan AS juga adalah pelabur terbesar di negara ini.

Pentadbiran Trump tahun ini menekan pihak berkuasa Malaysia untuk bertindak tegas terhadap apa yang Washington minta sebagai pemindahan semikonduktor ke China.

Zafrul berkata, proses tersebut agak lancar dan isu itu tidak akan memberi kesan kepada perdagangan ke Malaysia.

“Kami telah meningkatkan kapasiti, sumber untuk memastikan kami tidak mempunyai halangan untuk pengeksport mengeksport ke AS,” jelasnya.

Pemimpin ASEAN memulakan rundingan dua hari mulai Isnin dalam berusaha mengeratkan hubungan dengan China dan Negara-Negara Teluk serta mengurangkan kesan daripada sebarang tarif.

Sejajar usaha tersebut, Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) secara rasmi melancarkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dalam acara selingan ketika Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pada Isnin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN