PBAKL 2025 catat kehadiran 1.9 juta pengunjung seawal hari kedua 

PBAKL 2025 catat kehadiran 1.9 juta pengunjung seawal hari kedua 

MOHD. KHAIR NGADIRON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 mencipta fenomena tersendiri apabila mencatat kehadiran luar biasa sebanyak 1.9 juta pengunjung hanya dalam tempoh dua hari pertama penganjurannya.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd. Khair Ngadiron, berkata sambutan menggalakkan itu didorong oleh gabungan pelbagai faktor seperti lokasi strategik penganjuran, kemudahan pengangkutan awam serta penginapan di sekitar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Kita menyantuni semua lapisan masyarakat. Ramai pengunjung dari luar kawasan termasuk Sabah, Sarawak dan Kelantan memilih PBAKL sebagai destinasi cuti mereka. Mereka bukan sekadar membeli buku, tetapi menjadikan pesta ini sebagai sebahagian daripada aktiviti pelancongan budaya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Lonjakan jumlah pengunjung juga dipacu oleh pelbagai pengisian program yang padat dan meriah termasuk pelancaran buku, forum ilmiah, sesi temu penulis, serta aktiviti khas untuk kanak-kanak dan remaja.

“Objektif utama kita adalah untuk memandaikan masyarakat. PBAKL menyediakan ruang untuk semua, daripada pencinta buku serius hingga ke peminat komik dan buku kanak-kanak. Medan ini inklusif dan meriah, menjadikan ilmu sebagai pesta yang boleh dinikmati semua,” katanya.

PBAKL 2025 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 1 Jun ini menampilkan sebanyak 1,172 reruai dengan penyertaan 230 pempamer tempatan serta 28 wakil antarabangsa, menjadikannya pesta buku terbesar di Asia Tenggara.

Dengan mengetengahkan tema ‘Buku: Membaca dan Memimpin’, PBAKL 2025 bukan sahaja meraikan budaya membaca, tetapi juga memperkukuh peranan buku dalam membentuk pemikiran dan kepimpinan masyarakat masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN