PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2025) yang berlangsung dari 23 Mei dan berakhir Ahad lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), untuk edisi ke-42 dengan tema ‘Buku: Membaca, Memimpin’, membawa mesej jelas tentang kepentingan ilmu sebagai asas kepimpinan serta pembentukan bangsa yang berdaya saing.
Penganjur menyasarkan kehadiran 1.9 juta pengunjung, peningkatan berbanding 1.8 juta orang pada 2024. Lebih 250 pempamer tempatan dan antarabangsa dengan jumlah reruai melebihi 1,100 unit menyertai edisi kali ini, mewakili pelbagai segmen industri perbukuan termasuk penerbit akademik, kanak-kanak, keagamaan, fiksyen, teknologi, serta bahan pendidikan alternatif.
Kehadiran penerbit dari Indonesia, Brunei, China dan Iran menambahkan warna antarabangsa kepada pesta buku ini. Trend ini menunjukkan potensi Malaysia untuk menjadi hab buku serantau dan memperkukuhkan jaringan diplomasi budaya menerusi perbukuan.
Tahun ini pesta buku terbesar negara itu membawa makna yang lebih besar apabila ia berlangsung dalam suasana Malaysia diangkat sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Kelebihan ini mampu menjadikan PBAKL 2025 sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang ilmu, budaya dan industri kreatif. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang penting yang lain seperti kecerdasan buatan (AI) dan juga pelancongan.
PBAKL 2025 dilihat bukan sahaja sebagai medan promosi budaya literasi kebangsaan, malah turut menjadi wahana penting diplomasi budaya serantau, menyatukan negara-negara ASEAN melalui ilmu, bahasa dan nilai-nilai yang dikongsi bersama.
Selaras dengan misi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk membina sebuah komuniti yang berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan rakyat, penganjur memperkenalkan beberapa inisiatif baharu melibatkan penyertaan aktif daripada negara-negara ASEAN. Usaha ini bertujuan menjadikan PBAKL sebagai hab sastera dan perbukuan serantau, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi kreatif mahupun pendidikan.
Penglibatan aktif penerbit serta pempamer dari Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura dan Vietnam jelas membuktikan acara ini berkembang menjadi sebuah pentas serantau berprestij untuk mempromosikan kandungan, bahasa selain karya sastera Asia Tenggara.
PBAKL 2025 berjaya menyerlahkan peranan strategik buku bukan sekadar sebagai medium ilmu tetapi sebagai ejen pemahaman silang budaya, yang memperkukuh hubungan serantau selain memupuk semangat komuniti ASEAN yang bersatu melalui warisan penulisan serta kepelbagaian bahasa.
PERDAGANGAN BUKU MENYEBERANG SEMPADAN
Salah satu inisiatif penting ialah ASEAN Rights Fair (ARF), yang bakal mempertemukan penerbit, pengedar dan agensi hak cipta dari seluruh Asean dalam sesi rundingan, jual beli serta pertukaran hak penerbitan. ARF 2025 beraspirasi untuk menjadi lebih daripada sekadar medan perdagangan; ia berperanan sebagai platform unggul bagi penerbit dan pencipta kandungan untuk membuka potensi penuh harta intelek. Program ini menjadi medan pertemuan antara penerbit serantau selain menggalakkan lebih banyak karya diterjemahkan dan dipasarkan ke negara jiran.
Melalui empat program teras yang dirangka khas, ARF menjadi landasan kukuh untuk peluang dan kerjasama serantau. Program Forum Trend Penerbitan merupakan sesi perbincangan mendalam yang dikendalikan tokoh tempatan dan antarabangsa yang berkongsi kepakaran dalam landskap hak cipta serta harta intelek yang kian berkembang. Padanan Perniagaan pula menawarkan sesi pertemuan perniagaan secara peribadi antara peserta antarabangsa dan penerbit tempatan bagi meneroka potensi kerjasama yang boleh dijalin.
Dalam pada itu, Pembentangan Negara pula membawa peserta menyelusuri pelbagai landskap penerbitan negara-negara ASEAN menerusi pembentangan oleh Duta Hak yang dijemput khas, sekali gus mengetengahkan potensi industri penerbitan di rantau ini. Program ini membuka peluang baharu kepada pemain industri untuk memulakan usaha sama rentas sempadan.
Sementara itu, Pembentangan Perdagangan memberi peluang kepada pempamer untuk memperkenalkan produk, teknologi penerbitan terkini, sistem pengedaran serta inovasi dalam penciptaan kandungan.
TINGKAT PERDAGANGAN BUKU
Malaysia terus memacu aspirasi serantau dengan menjadikan PBAKL sebagai model pameran perbukuan bersepadu ASEAN, yang bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa, tetapi turut memperlihatkan potensi besar industri buku sebagai pemangkin ekonomi kreatif rantau ini.
Seiring perkembangan teknologi dan keperluan pengguna masa kini, PBAKL 2025 mengekalkan format hibrid yang diperkenalkan sejak pandemik.
Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan akses kepada mereka yang berada di luar Lembah Klang, tetapi turut menggalakkan pembelian buku dalam kalangan generasi muda yang celik digital. Usaha ini sekali gus menjadikan PBAKL 2025 lebih inklusif dan boleh diakses dari seluruh pelusuk ASEAN.
Pendekatan ini bukan sahaja merancakkan perdagangan buku rentas negara, malah selaras dengan agenda strategik Malaysia dalam memperkasa transformasi digital ekonomi kreatif ASEAN.
PBAKL kini tidak lagi sekadar pesta jualan buku fizikal, tetapi telah berevolusi menjadi sebuah ekosistem literasi dan perdagangan intelektual digital yang menjangkau sempadan, menyatukan pencipta kandungan, penerbit serta pembaca dari seluruh rantau Asia.
BUKU TUNJANG DIPLOMASI SERANTAU
PBAKL 2025 menjadi bukti nyata bagaimana sebuah pesta buku mampu melangkaui sempadan nasional selain berperanan besar dalam memperkukuh diplomasi budaya, perdagangan intelektual dan kerjasama serantau.
Sebagai negara yang mempengerusikan ASEAN tahun ini, Malaysia mengambil peluang untuk memanfaatkan kekuatan PBAKL sebagai jambatan pemahaman antara budaya, bahasa dan nilai kemanusiaan bersama.
Dengan penyertaan aktif negara-negara ASEAN serta penganjuran program berskala serantau, PBAKL 2025 melakar penanda penting ke arah mewujudkan komuniti ASEAN yang bersatu melalui ilmu, pemikiran dan pembacaan. Inilah manifestasi sebenar kepimpinan Malaysia; memimpin dengan buku dan menyatukan dengan budaya.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










