Nasihat senior bantu kemenangan Khai Xing-Aaron

Nasihat senior bantu kemenangan Khai Xing-Aaron

AKSI gandingan remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai ketika menumpaskan pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 12-21, 21-11, 21-17 pada pusingan 32 Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam. Gambar ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasihat dan bimbingan yang diberikan beregu No. 3 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kepada gandingan remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai sebelum berdepan beregu Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer benar-benar berbaloi.

Semalam, juara remaja dunia itu memanfaatkan sepenuhnya nasihat untuk membenam naib juara Terbuka Thailand tersebut 12-21, 21-11, 21-17 dalam masa 48 minit pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Hujung minggu lepas, Aaron-Wooi Yik menjuarai Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand selepas menewaskan Boe-Kjaer 20-22, 21-17, 21-12 dalam perlawanan akhir.

Beregu muda Denmark itu beraksi cemerlang sepanjang berada di Bangkok termasuk
menumbangkan beregu handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-13, 21-12 pada separuh akhir.

Ketika ditemu bual pemberita selepas perlawanan tamat, Khai Xing mendedahkan nasihat yang diberikan Aaron dan Wooi Yik telah banyak membantu mereka berdepan beregu Denmark itu.

“Aaron-Wooi Yik memang ada berkongsi sedikit nasihat macam mana mereka berdepan Boe-Kjaer di Thailand, jadi kami cuba gunakan nasihat itu untuk membaca permainan lawan,” katanya.

Pemain berusia 19 tahun itu berkata, peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri juga mahu dimanfaatkan mereka sebaik mungkin dan kalau boleh mahu menang dalam setiap perlawanan.

“Keluarga kami pun sudah lama tak menyaksikan perlawanan kami, jadi, kami memang amat berharap dapat beraksi dengan baik di hadapan mereka,” katanya.

Ketika diaju pertanyaan mengenai perbezaan beraksi di peringkat remaja dan senior, Aaron pula berkata, memang ada jurang di antara kedua-dua peringkat tersebut terutama dari segi corak permainan dan pengalaman.

“Di peringkat senior, gaya permainan mereka sangat laju dan memiliki kekuatan yang berbeza, malah, dari segi taktikal juga ada kelainan,” katanya.

Pada pusingan kedua, hari ini, Khai Xing-Aaron akan bertemu beregu No. 16 dunia, Rasmus Kjaer-Federik Sogaard juga dari Denmark.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN