KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee mencipta sensasi apabila menyingkirkan beregu pecah ganding dari China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge 21-19, 21-19 dalam pusingan pertama Malaysia Masters 2025, hari ini.
Qing Chen merupakan juara Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos lalu berpasangan dengan Jia Yi Fan.
Kemenangan dalam masa 53 minit itu merupakan kejayaan kedua mereka ke atas Qing Chen-Ting Ge selepas pertemuan di Terbuka Jerman sebelum ini.
Mei Xing mengakui mereka sudah meletakkan harapan tinggi untuk mencipta kemenangan selepas melihat prestasi ketika pertemuan lalu.
“Ya, sebab sebenarnya kami pernah bertemu mereka sebelum ini di Terbuka Jerman, jadi kali ini kami lebih meletakkan harapan pada diri sendiri,.
“Kami mulakan perlawanan dengan baik, tetapi di pertengahan permainan kami mula lakukan kesilapan dan agak gementar, namun kami berjaya atasi perasaan itu,” kata Mei Xing kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.
Mereka bakal berdepan satu lagi juara Olimpik iaitu Yi Fan yang kini digandingkan bersama Zhang Shu Xian dalam pusingan kedua pada Khamis selepas beregu negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting tewas pertarungan tiga set 11-21, 21-17, 13-21. – UTUSAN










