ADA rasa yang membawa kita pulang ke kampung halaman, ada aroma yang mengingatkan kepada masakan ibu dan ada kuih tradisional yang sekali dijamah, terus mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak.
Bayangkan dalam satu kunjungan, pengunjung dapat menikmati kepedasan Asam Pedas Melaka, keunikan Laksa Johor, lemak berempah Daging Salai Masak Lemak Negeri Sembilan, sehinggalah keenakan Patin Tempoyak Pahang, tanpa perlu mengembara dari satu negeri ke negeri yang lain.
Itulah pengalaman yang ditawarkan menerusi ‘Rasa-Rasa Malaysia: Satu Perjalanan Kulinari Rentas Malaysia di bawah Satu Bumbung’, sebuah himpunan gastronomi yang membawa kekayaan cita rasa 14 negeri ke satu lokasi, di Geo Resort & Hotel. Lebih 40 hidangan utama diperkenalkan di samping pencuci mulut dan juga kuih-muih membangkitkan selera pengunjung.

Berlatar suasana nyaman tanah tinggi Genting Highlands, sajian tradisional, resipi warisan dan kuih-muih nostalgia dihimpunkan dalam satu perjalanan kulinari yang bukan sekadar memanjakan selera, malah mengajak pengunjung mengenali kisah, budaya dan identiti masyarakat Malaysia melalui makanan.
Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasi, Geo Resort & Hotel, Marcus Osmand, konsep Rasa-Rasa Malaysia diperkenalkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, bukan sekadar meraikan kepelbagaian makanan tradisional, malah mengangkat makanan sebagai jambatan yang menyatukan rakyat berbilang kaum, budaya dan negeri.

“Himpunan sajian daripada 14 negeri itu menjadi gambaran bahawa kepelbagaian bukanlah jurang untuk memisahkan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan Malaysia. Dalam setiap suapan, terserlah semangat kebersamaan dan kesepaduan rakyat yang diraikan menerusi warisan makanan,” katanya.
Pengunjung boleh menikmati Laksa Johor yang sinonim dengan kuah ikan berempah, santan dan herba, sebelum melengkapkan hidangan dengan Kuih Kaswi yang lembut, kenyal dan manis daripada gula melaka.

Melaka pula tampil dengan Asam Pedas yang kaya rasa pedas dan masam, manakala Negeri Sembilan, terkenal Daging Salai Masak Lemak menjadi tarikan dengan aroma salai dan kuah santan yang diperkaya cili api.
Sebagai negeri tuan rumah, Pahang mengambil tempat istimewa menerusi Patin Tempoyak yang menggabungkan ikan patin dengan tempoyak, kunyit dan cili. Daging Opor, Kuih Badak Berendam serta Dodol Kukus turut melengkapkan sajian.

Bagi pencinta makanan Pantai Timur, Terengganu menawarkan Nasi Dagang bersama Gulai Ikan Tongkol, Kelantan pula membawa Singgang Pedas serta Ayam Bakar Percik Putih, dengan hidangan pencuci mulut seperti Lompat Tikam dan Cek Mek Molek.
Tidak berhenti di situ, Geo Resort Stall pula menghidupkan suasana gerai makanan Malaysia dengan sajian seperti Roti Canai, Murtabak, Shawarma dan Teh Tarik, selain pelbagai Kuih Melayu.
Lebih menarik, Gerai Jajan membawa pengunjung mengimbau nostalgia kedai runcit dan zaman kanak-kanak menerusi Sagon, Cakar Ayam, Biskut Kelapa, Dodol serta Cendol Durian Jonker Street.
Rasa-Rasa Malaysia 2026 berlangsung dari 29 Ogos hingga 31 Oktober 2026, setiap Sabtu, dengan hidangan makan malam dari 7 malam hingga 10 malam.

Bersempena sambutan Merdeka, Merdeka Buffet ditawarkan pada harga RM69 bersih seorang, manakala pengunjung yang mahu menikmati pengalaman lebih lengkap boleh memilih Weekend Room Package pada harga RM398 bersih, merangkumi penginapan di Superior Suite, bufet Rasa-Rasa Malaysia untuk dua orang dan sarapan untuk dua orang.
Untuk mengenali Malaysia, kita tidak semestinya perlu membaca sejarahnya, kadangkala cukup dengan menikmati rasanya, satu negeri demi satu negeri.










