Malaysia kutuk tindakan Israel pindah rakyat Gaza secara paksa

Malaysia kutuk tindakan Israel pindah rakyat Gaza secara paksa

RAKYAT Palestin berkumpul di hadapan sebuah bangunan yang menempatkan kedai dan pangsapuri, yang dirobohkan oleh tentera Israel di Anza, selatan Jenin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya gesaan terkini Israel untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza selain mengecam tindakan keganasan terhadap penduduk negara itu.

Kementerian Luar berkata, Malaysia menolak sebarang cubaan memindahkan secara paksa atau menempatkan semula rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Pembunuhan, ugutan, pemusnahan harta benda dan pemindahan secara paksa rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya adalah tindakan keji.

“Ia merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Tindakan sedemikian terus mengukuhkan pendudukan, memperluas penempatan haram Zionis secara sistematik serta merampas tanah milik rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, Malaysia sentiasa menegaskan Semenanjung Gaza adalah sebahagian daripada Wilayah Palestin yang diduduki dan menolak sebarang usaha untuk mengubah struktur demografi atau geografinya.

“Malaysia juga menolak usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki melalui peluasan penempatan dan keganasan pendatang haram,” katanya.

Susulan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan pencabulan ini.

“Ia seterusnya memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan serta melindungi rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×