LANGKAWI: Malaysia terus meningkatkan pelaburan untuk mengawal ancaman di lautan yang masih dilihat mencabar keselamatan dan kedaulatan tanah air.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaburan itu merangkumi pelbagai aspek pertahanan termasuk teknologi pemantauan canggih seperti penggunaan kenderaan tanpa pemandu autonomi (AUV), mekanisme perkongsian risikan.
Katanya, ancaman di lautan seperti kegiatan perikanan haram, lanun dan pencemaran marin masih dilihat satu yang mencabar keselamatan serta kedaulatan Malaysia.
“Malaysia justeru itu akan terus meningkatkan keupayaan tentera laut dan agensi penguatkuasaan maritimnya demi melindungi kepentingan negara.
“Di samping itu, kita juga perlu menyesuaikan diri dengan kemunculan teknologi baharu dan bersifat disruptif yang boleh mengoptimumkan keupayaan kita menangani isu-isu maritim.
“Selain itu, latihan tentera laut bersama dengan rakan antarabangsa yang dipercayai bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi ancaman baharu,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Persidangan Maritim Malaysia (MMC).
Persidangan tersebut diadakan bersempena dengan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung sejak semalam hingga Sabtu ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Mohamed Khaled berkata, Malaysia pada masa kini menguatkuasakan lebih 15 akta dan perintah berkaitan maritim yang tanggungjawabnya dikongsi lebih 30 agensi serta pelbagai kementerian.
Jelasnya, pertindihan bidang kuasa, ketidakcekapan dan kekangan sumber perlu ditangani dengan segera.
“Sehubungan itu, kerajaan komited untuk mewujudkan tadbir urus maritim bersepadu termasuk menyelaraskan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi menghapuskan pertindihan dan meningkatkan kerjasama antara agensi.
“Selain itu, memperkukuh pendigitalan dan perkongsian data untuk meningkatkan Kesedaran Domain Maritim (MDA) menerusi maklumat risikan dan pemantauan masa nyata dan merangka Dasar Maritim Kebangsaan yang menyepadukan keutamaan keselamatan ekonomi serta kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Tambahnya, Malaysia akan memperkukuh kerangka perundangan bagi membanteras kegiatan perikanan haram, pencemaran marin dan pencerobohan perairan oleh pihak asing.
“Dengan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan, Malaysia akan memastikan akauntabiliti dan mengekang aktiviti maritim yang menyalahi undang-undang,” katanya. – UTUSAN









