Mahu hasilkan mini album, Ara enggan ‘tangkap muat’ pilih lagu - Utusan Malaysia

Mahu hasilkan mini album, Ara enggan ‘tangkap muat’ pilih lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Genap sembilan tahun menjadi penyeri persada muzik tanah air, nama penyanyi, Ara Johari masih dijulang dalam kalangan peminat tegar sehingga ke hari ini.

Mempunyai kebolehan menyanyikan lagu nada tinggi, bintang yang terlahir dari program realiti, Akademi Fantasia itu kini sudah bersedia untuk menghasilkan sebuah mini album.

Terbuka untuk bekerjasama dengan komposer lama mahupun baru, pemilik nama lengkap Nurfarrah Izzatie Johari bagaimanapun enggan terburu-buru dalam dalam memilih lagu.

Katanya, dia mahu albumnya dimuatkan dengan lagu-lagu hits yang berkualiti yang terdiri daripada berlainan genre.

“Saya sedang mencari lagu baru untuk single terbaru saya untuk hasilkan mini album. Saya tidak kisah apa sahaja genre lagunya kerana saya tidak mahu terikat dengan satu genre sahaja. Ada pop, upbeat, rock dan banyak lagi.

“Kalau boleh hantar demo dengan kadar segera pada saya. Mana tahu ada 100 yang hantar mungkin saya pilih 10 lagu dan mungkin ini rezeki mereka juga berkongsi dengan saya.

“Saya tidak mahu tergesa-gesa atau main tangkap muat sahaja pilih lagu. Saya mahu lagu yang berkualiti dan sedap didengar. Apabila orang mendengarnya terasa keikhlasan saya dan pencipta lagu tersebut,” katanya.

Pun begitu, penyanyi yang berusia 28 tahun itu menyifatkan lagu yang sedap bukanlah pengukur dirinya untuk kekal relevan sebaliknya dia perlu menitikberatkan demand peminat dan trend semasa.

“Zaman sudah berubah, sekarang bukan lagi nak buat lagu apa yang saya minat. Itu tidak penting sebenarnya. Apa yang penting, orang suka dengar lagu-lagu yang mengikut trend terkini.

“Pada saya muzik ini menyeluruh. Walaupun saya suka rock balada, saya tidak mahu terus kekal dengan genre itu sahaja.

“Saya perlu letakkan diri dan kehendak saya dalam pilihan kedua. Pilihan pertama adalah trend semasa yang tengah berkeliaran di media-media sosial,” jelasnya.

Bakal memberikan sentuhan dan nafas baru untuk lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah, Ara mengakui dirinya sentiasa mengidolakan penyanyi asal lagu tersebut iaitu Datuk Aishah.

“Saya memang minat lagu-lagu Aishah sejak kecil lagi terutamanya Janji Manismu. Itu sebabnya bila ada peluang saya beri nafas baru pada lagu ini saya teruja.

“Walaupun lagu ini sudah lama, saya pasti ramai yang tidak tahu mengenai lagu ini dan saya menyukai lagu ini kerana lagu ini sangat sedap dan indah melodinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ara bakal membuat persembahan di Fantastic Food Fest (FFF) edisi ke-11 yang bakal berlangsung di Bertam Square, Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 8 hingga 11 Mei 2025.

Pengasas FFF, Nabilah Baharin atau lebih dikenali sebagai Kak Nab turut menjelaskan bahawa kerjasama bersama Yaya Empire Perfume yang diasaskan Nadia Mat Isa atau Kak Yaya merupakan satu sinergi yang bukan sahaja menggabungkan kekuatan dua jenama, malah membuka ruang kepada para usahawan untuk menonjolkan produk mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Selain menyediakan platform jualan dan promosi, Yaya Empire turut menyumbang kepada festival dengan membawa barisan artis dan selebriti popular.

Selepas kejayaan FFF di Alor Setar yang mencatat lebih 500,000 pengunjung, kali ini Bertam dipilih sekali lagi dan dijangka dapat menarik lebih ramai orang, khususnya dari sekitar utara Semenanjung Malaysia.

Kata Kak Nab lagi, FFF 11.0 akan menghimpunkan lebih 130 vendor, terdiri daripada pengusaha produk viral dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh negara.

“40 hingga 60 peratus vendor yang terlibat merupakan individu atau syarikat yang pernah saya review secara peribadi. Vendor akan tampil dengan kostum mengikut tema tertentu seperti watak filem atau elemen tradisional, menjadikan pengalaman pengunjung bukan sekadar tentang makanan, tetapi hiburan dan visual yang menarik.

“Lebih menarik, festival ini turut diserikan dengan penyertaan selebriti seperti Azza Elite, Cat Farish, Dato’ Nash, dan mungkin Abby Abadi. Ini memberikan nilai tambah kepada suasana festival yang sememangnya sudah padat dengan aktiviti dan jualan makanan viral,” ujar Kak Nab lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN