Enam kanak-kanak maut terkena bedilan udara Zionis ketika beratur ambil air di Gaza - Utusan Malaysia

Enam kanak-kanak maut terkena bedilan udara Zionis ketika beratur ambil air di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMAQDIS: Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, majoritinya kanak-kanak, terbunuh manakala lebih sedozen lagi cedera dalam satu serangan udara Israel di tengah Gaza ketika mereka beratur untuk mengambil air, menurut pegawai tempatan.

Serangan yang berlaku di kem pelarian Nuseirat itu mengenai kawasan pengagihan air, membunuh enam kanak-kanak dan mencederakan 17 individu lain, kata Dr. Ahmed Abu Saifan, pegawai perubatan kecemasan di Hospital Al-Awda.

Tentera Israel dalam kenyataannya mengakui serangan tersebut tersasar daripada sasaran asal.

Menurut Israel, peluru berpandu itu disasarkan kepada seorang anggota Jihad Islam, namun berlaku kerosakan teknikal yang menyebabkan ia jatuh “beberapa puluh meter” dari lokasi sebenar.

“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) kesal dengan sebarang kecederaan terhadap orang awam yang tidak terlibat,” kata kenyataan itu, sambil menambah insiden tersebut kini dalam siasatan dalaman.

Krisis air bersih di Gaza semakin memburuk sejak beberapa minggu lalu susulan kekurangan bahan api yang memaksa loji penyahgaraman dan sistem sanitasi ditutup. Ini menyebabkan ramai penduduk bergantung sepenuhnya kepada pusat agihan air bagi mengisi bekas dan tong plastik.

Beberapa jam selepas insiden di Nuseirat, satu lagi serangan udara Israel dilancarkan di sebuah pasar di Bandar Gaza, mengorbankan 12 orang termasuk seorang pakar perubatan terkenal, Dr. Ahmad Qandil, menurut laporan media Palestin. Tentera Israel belum mengeluarkan kenyataan mengenai serangan tersebut.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan jumlah korban sejak perang tercetus pada Oktober 2023 kini melebihi 58,000 orang, dengan 139 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam terakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN