Gyokeres berdepan denda berat

Gyokeres berdepan denda berat

Viktor Gyokeres bakal dikenakan tindakan disiplin selepas gagal melaporkan diri dengan kelabnya, Sporting Lisbon. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Presiden Sporting Clube, Frederico Varandas mengesahkan Viktor Gyokeres akan dikenakan tindakan disiplin selepas bertindak mogok berikutan minat yang kuat terhadap Arsenal.

Gyokeres, 27, gagal melaporkan diri untuk latihan pramusim kelab minggu ini, walaupun Sporting telah memberinya cuti musim panas yang dilanjutkan sehingga Sabtu lalu.

Namun, kesabaran itu telah berakhir, dan Varandas berikrar akan mengenakan ‘denda berat’ ke atas penyerang yang sedang hangat diperkatakan itu.

Gyokeres dipercayai bersetuju dengan terma pra-kontrak bersama Arsenal tetapi satu-satunya halangan yang masih menghalang perpindahannya ke utara London adalah yuran perpindahan.

Arsenal masih belum memenuhi penilaian tegas Sporting sebanyak £69 juta pound (RM397 juta), namun kenyataan terbaharu daripada Varandas menunjukkan kelab Portugal itu tidak berada dalam keadaan terdesak.

“Kami tenang. Segalanya boleh diselesaikan dengan penutupan jendela perpindahan, denda berat dan permohonan maaf kepada pasukan.

“Jika mereka tidak mahu membayar nilai pasaran yang sewajarnya untuk Viktor, kami sangat selesa dengan situasi itu untuk tiga tahun akan datang. Tiada sesiapa pun yang berada di atas kepentingan kelab. Siapa pun mereka,” katanya kepada agensi berita Portugal, Lusa.

Gyokeres menjaringkan 54 gol yang mengagumkan untuk Sporting musim lalu dalam semua pertandingan, dan dianggap sebagai salah seorang penyerang paling prolifik di Eropah.

Bekas penyerang Coventry City dan Brighton itu masih mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya bersama kelab gergasi Portugal itu, walaupun situasi semasa menunjukkan kemungkinan besar dia tidak akan menghabiskan kontrak tersebut.

Sejak berpindah dari Coventry ke Sporting dengan nilai £20 juta (RM115 juta) pada 2023, Gyokeres telah mencipta rekod jaringan luar biasa di Portugal, menjaringkan 97 gol dalam hanya 102 penampilan sepanjang dua musim.

Gyokeres turut menjaringkan 43 gol untuk Coventry dalam dua setengah musimnya di sana, tetapi tidak pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris semasa bersama Brighton.

Beliau sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk kembali ke liga utama England bagi menebus kekecewaan ketika bersama Brighton yang tidak memberinya peluang sebenar.

“Ia adalah salah satu liga terbesar di Eropah. Saya menghabiskan beberapa tahun di sana tanpa dapat bermain walau satu perlawanan pun.

“Jadi, sudah tentu ia sesuatu yang saya ingin lakukan. Ia akan menjadi satu bentuk dendam yang manis,” kata Gyokeres.

Seperti yang dilaporkan oleh Mail Sport, Mikel Arteta memang berhasrat untuk mendapatkan seorang penyerang baharu sebelum skuadnya berlepas ke Singapura pada 19 Julai ini untuk memulakan jelajah mereka di Asia.

Namun, setakat ini, Sporting dilihat memegang semua kelebihan dalam rundingan dan mereka langsung tidak tergesa-gesa untuk melayan Arsenal. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN