PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan wanita negara, K. Letshanaa berjaya meloloskan diri ke suku akhir buat kali pertama dalam kariernya pada kejohanan berstatus Super 300 iaitu Terbuka Taiwan di Taipei, Taiwan, semalam.
Gadis kelahiran Selangor berusia 21 tahun itu mencipta kejutan ke atas wakil tuan rumah, Chiu Pin Chian yang menghuni ranking ke-24 dunia dalam aksi sengit yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 21-19, 17-21, 26-24 yang memakan masa selama 1 jam 11 minit pada pusingan kedua.
Kemenangan itu merupakan pencapaian terbaik Letshanaa yang pernah menerima kritikan pedas daripada Pengarah Kejurulatihan Skuad Kebangsaan, Rexy Mainaky.
Rexy sebelum ini menegur Letsahaa agar melipat ganda usahanya di dalam sesi latihan ekoran prestasi hambar yang dipamerkan pemain muda negara itu sejak menyertai pasukan senior.
Namun, sejak jurulatih kelahiran Denmark, Kenneth Jonnassen dilantik selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia awal tahun ini, perubahan mula kelihatan dalam permainan Letshanaa.
Pada suku akhir, hari ini, Letshanaa yang berada di ranking ke-50 dunia bakal berdepan ujian lebih getir apabila dijadual menentang pemain No. 15 dunia yang diletakkan sebagai pilihan kedua, Sim Yu Jin dari Korea Selatan.
Mengiringi Letsahanaa ke suku akhir, dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Chan Wan Tse dan Loo Bing Kun-Toh Ee Wei serta wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan lelaki, Justin Hoh.
Tang Jie-Wan Tse mengalahkan Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 18-21, 21-18, 21-17 dalam masa 51 minit, manakala, Bing Kun-Ee Wei membenam gandingan Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun 15-21, 23-21, 21-8 dalam tempoh satu jam.
Justin pula mengejutkan pemain No. 17 dunia yang juga merupakan wakil tuan rumah, Lin Chun Yi 21-17, 21-18 dalam masa 46 minit.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa pemain perseorangan profesional Malaysia, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang tunduk kepada bintang No. 7 dunia, Chou Tien Chen 14-21, 16-21.
Dalam saingan beregu wanita, gandingan remaja Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting tewas di tangan Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose dari Indonesia 17-21, 18-21.
Turut ditunjukkan jalan keluar ialah beregu lelaki yang pertama kali digandingkan, Chen Tang Jie-Wong Vin Sean selepas mereka tumpas kepada Takumi Nomura-Yuichi Shimogami dari Jepun 19-21, 18-21. – UTUSAN