Drama tempatan, antarabangsa boleh ditonton percuma di Viu - Utusan Malaysia

Drama tempatan, antarabangsa boleh ditonton percuma di Viu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Sempena musim perayaan, platform penstriman video OTT terkemuka, Viu, melancarkan kempen Viu Together Gather yang menawarkan akses strim secara percuma kepada pelbagai judul drama tempatan dan antarabangsa terpilih.

Kempen tersebut memberi peluang kepada penonton menikmati pelbagai naskhah popular daripada pelbagai genre tanpa sebarang bayaran sepanjang tempoh promosi.

Antara drama tempatan yang boleh ditonton secara percuma ialah Jendela Hati, Anggun Mikayla dan Bidaah.

Jendela Hati mengangkat kisah konflik pengorbanan dan cinta antara Farah dan abang iparnya yang masih dibayangi rasa bersalah terhadap arwah kembarnya.

Anggun Mikayla pula menampilkan perjalanan seorang jurusolek yang berusaha mencari jati diri selain meraih pengiktirafan ibu kandungnya di sebalik rahsia kelahirannya.

Sementara itu, Bidaah mengisahkan Baiduri dan Hambali yang mula meragui ajaran sesat kumpulan Jihad Ummah sebelum nekad membongkar kebenaran bagi menyelamatkan keluarga mereka.

Selain drama tempatan, penonton juga boleh menikmati pelbagai naskhah popular dari seluruh Asia merangkumi genre drama trending, romantik serta aksi dan thriller.

Bagi kategori drama trending, antara judul yang ditawarkan ialah Descendants of the Sun, drama fenomena global yang menggabungkan aksi ketenteraan dan percintaan antara seorang kapten pasukan khas dan pakar bedah ketika menghadapi krisis kemanusiaan.

Turut ditampilkan ialah True Beauty, drama komedi romantik berasaskan webtoon popular yang mengetengahkan kisah keyakinan diri serta cinta tiga segi dalam kalangan remaja.

Dalam kategori romantik, penonton boleh mengikuti kisah Fireworks of My Heart yang mengisahkan pertemuan semula antara ketua pasukan bomba dan doktor unit kecemasan selepas sepuluh tahun terpisah akibat tentangan keluarga.

Turut ditawarkan ialah Love’s Ambition yang memaparkan keretakan rumah tangga antara penyampai berita terkenal dan lelaki elit akibat perbezaan darjat serta cita-cita tinggi masing-masing.

Selain itu, Love Between Lines membawa kisah cinta unik yang bermula daripada komunikasi bertulis, membuktikan bahawa perasaan boleh berkembang meskipun tanpa pertemuan fizikal.

Bagi peminat aksi dan thriller, antara pilihan menarik ialah Taxi Driver 2 yang menyaksikan Kim Do-gi kembali dengan teksi pelangi untuk menuntut keadilan melalui misi lebih besar yang turut menyentuh isu realiti masyarakat.

Drama misteri Perfect Family pula membongkar rahsia di sebalik sebuah keluarga yang kelihatan sempurna selepas anak perempuan mereka terlibat dalam kes pembunuhan.

Sementara itu, Bloody Flower mengetengahkan kisah seorang bekas pelajar perubatan yang menjadi pembunuh bersiri dengan mendakwa memiliki teknologi untuk menyembuhkan penyakit maut, namun memerlukan nyawa manusia sebagai galang ganti.

Orang ramai boleh menonton pelbagai judul tersebut secara percuma melalui platform Viu. Aplikasi Viu juga boleh dimuat turun melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery serta TV pintar terpilih, atau dengan melayari laman web rasmi www.viu.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN