Cukai tanaman durian di Pulau Pinang turun kepada RM80 sehektar

Cukai tanaman durian di Pulau Pinang turun kepada RM80 sehektar

CHOW Kon Yeow dalam sidang akhbar mengenai rayuan cukai tanah di George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima sebanyak 1,025 rayuan semakan Cukai Tanah 2026 yang dikemukakan kepada semua Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini setakat pukul 9 pagi hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, rayuan tersebut diterima selepas kerajaan negeri melaksanakan semakan cukai tanah kali terakhir dilakukan lebih 30 tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah rayuan itu, sebanyak 515 kes melibatkan isu kenaikan kadar cukai yang tinggi berbanding sebelum ini, khususnya bagi tanah First Grade, Condition A, B dan C, selain tanah tanpa kategori atau syarat nyata serta tanah yang diklasifikasikan semula sebagai kawasan bandar.

“Kerajaan negeri menghormati maklum balas awam dan telah meneliti semua representasi serta rayuan pusingan pertama dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.

“Semakan cukai tanah ini bukan semata-mata untuk meningkatkan kutipan hasil negeri, tetapi bagi memastikan sistem cukai tanah lebih teratur, telus dan adil selaras dengan nilai tanah serta kegunaan semasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini melaksanakan semakan kadar cukai tanah baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026, yang pertama sejak 1994, membabitkan 370,000 hak milik.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sebelum ini mengambil dua pendekatan bagi mengurangkan impak kepada pembayar cukai iaitu pemberian rebat 50 peratus bagi tahun 2026 sebagai langkah pelaksanaan secara berperingkat serta membuka ruang rayuan kepada pemilik tanah yang terjejas.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan asas rayuan cukai tanah hasil maklum balas yang diterima termasuk mengenakan kadar cukai bagi bangunan perniagaan atau industri yang dibina di atas dua lot tanah atau lebih akan dikira berdasarkan keluasan sebenar tanpa tertakluk kepada kadar cukai minimum,” katanya.

Selain itu, katanya, pemilik tanah bagi projek perumahan yang terbengkalai atau belum dimulakan boleh mengemukakan rayuan kepada Pentadbir Tanah bagi mendapatkan pertimbangan pengurangan kadar cukai tanah.

”Kerajaan negeri turut bersetuju menurunkan kadar cukai bagi tanaman durian daripada RM800 kepada RM80 sehektar, sekali gus melibatkan 730 lot tanah dengan keluasan keseluruhan 2,265 hektar dan pengurangan cukai sebanyak RM1.6 juta.

”Dalam sektor kuari pula, kadar cukai RM3.25 hanya akan dikenakan kepada lot yang mempunyai struktur berkaitan operasi kuari seperti kilang pemprosesan, bengkel dan pejabat pengurusan, manakala kawasan penampan atau kuari yang tidak beroperasi akan dikenakan kadar minimum industri sebanyak RM1,200 bagi setiap lot,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN