SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 21 Julai depan bagi sebutan kes tuntutan pengesahan lafaz cerai pasangan pempengaruh, Khairul Aiman Abdul Kudus dan Siti Suriani Wahiddin.
Terdahulu, Khairul Aiman, 22, yang dikenali sebagai Aiman Tak Kesah hadir memfailkan tuntutan itu di mahkamah berkenaan, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Peguam syarie Mohd. Noor Aizan Md. Idros yang mewakilinya berkata, tuntutan itu dibuat pihaknya mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yangg difailkan berdasarkan lafaz cerai anak guamnya ke atas Siti Suriani, 26, atau dikenali Siti Jamumall yang tular di media sosial pada 15 Mei lalu.
“Ini adalah hari ketujuh daripada tarikh lafaz itu dan undang undang menetapkan bahawa si suami perlu mendaftarkan kes pengesahan cerai dalam tempoh seminggu.
“Mahkamah telah menerima pendaftaran itu dan menetapkan 21 Julai bagi sebutan pertama kes ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di luar pekarangan mahkamah itu.
Menurut Mohd. Noor Aizan, pihaknya mengemukakan dokumen mengandungi 16 perenggan pernyataan bagi tuntutan itu.
“Lafaz cerai itu berlaku secara berulang iaitu sebanyak empat kali. Jadi, kita kini serah kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada lafaz itu jatuh atau sebaliknya. Jika jatuh, berapakah jumlah talak kepada Siti,” ujarnya.
Tambah beliau, kes itu dianggap biasa kerana tiada unsur ketidakwarasan atau dadah atas tindakan Khairul Aiman berkenaan.
“Dia ‘bersih’ dan waras ketika melafazkan cerai berkenaan. Namun, cuma ketika itu berlaku ketegangan antara suami isteri dan ia perkara biasa,” katanya.
Utusan Malaysia melaporkan pasangan itu bercerai buat kali kedua pada awal pagi 15 Mei lalu selepas lafaz dibuat secara langsung menerusi siaran TikTok di akaun hingga menjadi tular di media sosial.
Aiman melafazkan cerai kepada isterinya sebanyak tiga kali sebelum siaran itu dihentikan secara mengejut.
Pada 6 Mei lalu, mereka pernah bercerai dan hadir ke mahkamah sama namun memutuskan kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.
Difahamkan, pasangan itu bernikah di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu.
Siti sebelum ini pernah berkahwin namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dengan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3. – UTUSAN