Bekas pengerusi eksekutif didakwa tipu projek RM2.5 juta

Bekas pengerusi eksekutif didakwa tipu projek RM2.5 juta

Tipu projek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengerusi eksekutif sebuah syarikat perlombongan didakwa buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan penipuan melibatkan jumlah keseluruhan RM2.5 juta berkaitan projek perlombongan antara tahun 2020 hingga 2021.

Tertuduh, Zahri Ismail, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Zahri didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa kononnya akan diberikan projek perlombongan di sebuah lot di Mukim Relai, Gua Musang, Kelantan.

Akibat perbuatan itu, mangsa didakwa memindahkan wang berjumlah RM2.5 juta secara dalam talian ke satu akaun bank milik sebuah syarikat dekat dua cawangan bank di sekitar Petaling Jaya, Selangor antara Jun 2020 hingga 30 Jun 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ‘Athirah Mohd. Azuarizanuddin mencadangkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Kelantan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Beliau turut memohon kebenaran mahkamah untuk memindahkan kes berkenaan bagi dibicarakan bersama kes yang telah difailkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu sebelum ini.

Sementara itu, peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi memaklumkan anak guamnya kini berada di bawah pemantauan kesihatan selepas menjalani 10 prosedur perubatan berkaitan penyakit jantung.

Sehubungan itu katanya, tertuduh tidak berisiko melarikan diri dan memohon agar mahkamah mengguna pakai jaminan keseluruhan RM70,000 yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan Alor Setar sebelum ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Mac depan.

Zahri sebelum ini dilaporkan berdepan 13 pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat bernilai RM485,500 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu selain lima pertuduhan penipuan berjumlah RM1.38 juta di Mahkamah Sesyen Alor Setar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN