Pegawai IKBN dituduh kemuka tuntutan palsu RM76,980

Pegawai IKBN dituduh kemuka tuntutan palsu RM76,980

IKBN tuntutan palsu
NOOR Aini Mohd. Khalid dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan butir matan palsu bernilai RM76,980 berkaitan Program Bootcamp IKBNKL 2023.

Bagaimanapun, tertuduh, Noor Aini Mohd. Khalid mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya secara berasingan.

Ibu kepada tiga orang anak itu didakwa bersubahat dengan seorang lelaki berusia 42 tahun mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu daripada dua syarikat berbeza dengan nilai masing-masing sebanyak RM36,000 dan RM40,980.

Tuntutan tersebut melibatkan pengeluaran invois bagi tuntutan penyediaan makanan dan minuman serta perkhidmatan dobi bagi syarikat pertama dan pembekalan bahan latihan serta promosi bagi syarikat kedua, yang mana ia dibuat berkaitan program sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 22 Mei hingga 14 Julai 2023 di institut kemahiran berkenaan. Justeru, Noor Aini, 52, dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Kedua-dua pertuduhan itu masing-masing disebut di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud dan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 April depan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Amin Anuar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN