GEORGE TOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang sedang mengesan saudara-mara terdekat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipercayai mangsa dera ibu bapanya bagi tujuan penjagaan sementara di bawah kategori Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
Ketika ini, kanak-kanak itu dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil selepas diselamatkan daripada didera termasuk dikurung dalam sangkar anjing dan dipukul apabila melakukan kesalahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, mangsa dikesan mengalami kecederaan fizikal oleh guru bimbingan dan kaunseling di sekolah sebelum kes dirujuk kepada JKM Daerah Barat Daya.
“Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa mangsa masih berada di hospital dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan saudara mara terdekat bagi tujuan penjagaan sementara.
“Pelindung akan membuat penilaian dari semasa ke semasa dan akan merujuk kepada mahkamah untuk sebarang keputusan lanjut selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri berusia 49 dan 47 tahun, ditahan polis selepas disyaki mendera anak mereka berusia 12 tahun susulan laporan dibuat guru besar sekolah mangsa, pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, Siew Khim berkata, mangsa telah dibawa ke One Stop Crisis Center (OSCC) Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan awal sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan pemantauan.
“Ibu bapa mangsa tidak dibenarkan melawat mangsa buat sementara waktu demi keselamatan dan kestabilan emosi mangsa,” katanya.
Katanya, JKM turut menjalankan penilaian keselamatan ke atas seorang lagi anak pasangan tersebut yang berusia 15 tahun bagi memastikan perlindungan menyeluruh.
Tambahnya, kerajaan negeri memandang serius setiap kes penderaan kanak-kanak dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pengabaian atau keganasan yang berlaku. – UTUSAN